Isnin, 1 Februari 2016 | 1:21pm

Shima Anuar masuk hospital gara-gara jaga badan

SHIMA Anuar masuk hospital gara-gara jaga badan
SHIMA Anuar masuk hospital gara-gara jaga badan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shima Anuar, mengakui pola pemakanan kurang sihat menjadi punca penyakit kurang darah yang dihadapinya sehingga membuatkan beliau ditahan di sebuah hospital swasta sejak Sabtu lalu.

Pemilik nama sebenar Noor Hashimah Anuar itu berkata, beliau terkejut apabila doktor dimaklumkan sukatan darahnya berada separuh daripada catatan normal untuk wanita.

"Saya ditahan di hospital sejak Sabtu lalu kerana sudah menanggung rasa sakit kepala selama beberapa hari. Ingatkan hanya migrain biasa, tidak sangka pula rupa-rupanya saya mengalami penyakit kurang darah yang agak berbahaya.

"Catatan darah saya pada ketika itu 6.2 g/dL, sedangkan wanita normal antara sekitar 11 g/dL hingga 13 g/dL. Oleh itu, serta-merta saya ditahan di wad sehingga ke hari ini.

"Mungkin kerana saya terlalu ingin menjaga badan sehingga mengganggu pola pemakanan ditambah pula dengan sibuk bekerja menjadi punca sakit kurang darah," katanya kepada BH Online.

Pemegang diploma dalam bidang seni lakon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkongsi, beliau berhasrat lebih menitik beratkan kesihatan diri pada masa akan datang supaya insiden sama tidak lagi berulang.

"Doktor juga menasihatkan supaya mengamalkan diet yang seimbang dan makan mengikut waktu bagi mengelakkan sakit sebegini. Biarpun sibuk dengan kerja, saya tidak boleh memandang remeh kesihatan diri.

"Selain itu, saya juga menggunakan kesempatan ini untuk berehat daripada kerja. Kebetulan jadual juga sedang kosong buat masa ini," kata gadis kelahiran Rawang, Selangor itu.

Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa teruja dengan sambutan memberangsangkan terhadap drama bersiri lakonannya, Shah dan Shah.

Shima bakal kembali sibuk menjalani penggambaran untuk sebuah drama bermula pertengahan bulan ini.

Berita Harian X