Rabu, 5 Ogos 2015 | 8:46am

Saingan di FFM 27 cukup sengit - Izara Aishah

Izara Aishah
Izara Aishah

KUALA LUMPUR: Rasa masih baharu lagi pelakon Izara Aishah menceburi dunia seni, namun hakikatnya dia sudah tujuh tahun memilih jalan sebagai anak seni.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Vanilla Coklat di TV3 yang berdampingan dengan Aiman Hakim Ridza ini ternyata tidak bersandarkan kepada kecantikan semata-mata.

Bakat yang ada terus digilap dan kecantikan dimiliki menjadi pakej serta bonus untuknya terus terbang tinggi.

Daripada berlakon kaku dan kayu di awalan kerjaya, Izara kini menunjukkan peningkatan ketara dalam lakonan.

Jadi tidak hairan filem ketiga lakonannya, Sejoli diarahkan Osman Ali diiktiraf juri untuk dicalonkan dalam dua kategori, Pelakon Harapan Wanita dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27.

Gembira Izara bukan kepalang saat dimaklumkan mengenai berita berkenaan.

"Saya memanjat kesyukuran dan sangat gembira dengan pencalonan ini. Tapi hati kecil saya terbit rasa tak layak. Namun mengetahui bakat seni dan kerja keras diperhatikan, saya amat hargainya.

"Untuk saya menang mana mana kategori, ia sesuatu yang mustahil. Saingan cukup sengit," katanya yang kali pertama ke layar perak menerusi filem KL Zombi diikuti Balun (belum ditayangkan), Sejoli dan Pilot Cafe.

Prestasi Izara dalam filem Sejoli sebenarnya boleh dibanggakan kerana ramai yang memuji mutu lakonan yang masih dilihat "hijau".

Lebih membanggakan Izara turut bergandingan dengan nama besar seperti Remy Ishak, Bront Palarae dan Maya Karin dalam filem berkenaan.

"Sebenarnya saya tak rasa sudah melakukan yang terbaik dalam Sejoli. Sejujurnya saya kecewa dengan mutu lakonan dalam filem itu. Tapi pengalaman banyak mengajar saya untuk tidak berada dalam zon selesa.

Pengalaman juga buat saya terus serius berlakon dalam filem seterusnya," katanya.

Dalam temubual sebelum ini, Fazura yang juga dicalonkan dalam dua kategori di FFM 27 menamakan Izara antara calon yang mampu memberi saingan. Apa komen Izara pula?

"Saya memang ketinggalan jauh di antara calon pelakon wanita lain. Saya tak rasa mampu beri saingan sengit kepada yang lain," katanya yang baharu sahaja selesai melunaskan penggambaran filem Kau Yang Satu di sisi Aaron Aziz.

Berita Harian X