Ahad, 2 Ogos 2015 | 2:37pm

Indah Ruhaila jawab tuduhan berlagak diva, lupa diri

 INDAH Ruhaila ketika menghadiri majlis 30 Living Legends Media Hiburan Sempena Sambutan Tiga Dekad majalah hiburan itu di Hotel Pullman Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan
INDAH Ruhaila ketika menghadiri majlis 30 Living Legends Media Hiburan Sempena Sambutan Tiga Dekad majalah hiburan itu di Hotel Pullman Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Masih berpijak di bumi yang nyata dan sedar asal usul dirinya yang tidak pernah melalui jalan mudah untuk sampai tahap dikenali sekarang, Indah Ruhaila sedikit terkejut dengan cerita yang dilaporkan dalam ruangan pojok, Kak Pora sisipan B*Pop (BH Ahad) bertajuk Kenapa dengan Indah Ruhaila?

Artikel itu turut menyebut sejak nama Indah meningkat naik, dia sudah mula berlagak diva. Lagak Indah itu dikatakan seolah-olah namanya terlalu besar sehingga pihak yang berurusan sudah tidak kuasa melayannya lagi. Selain itu, pengurusan Indah di bawah Astro Talent Management turut berasa kurang selesa dengannya.

Menjawab tuduhan itu, Indah yang dihubungi BH Online sebentar tadi menjelaskan sisinya pula.

"Indah masih Indah yang dahulu. Sama sahaja. Nak berubah untuk apa kerana Indah tahu pahit getir dilalui selama ini. Tak tahu pula kenapa hal sebegini boleh berbangkit. Indah dengan pihak pengurusan pun sejak puasa lalu tidak bertemu atau mengadakan mesyuarat bersama. Indah ada dihantar ucapan raya oleh pihak pengurusan dan mereka tak ada cakap apa-apa pula mengenai perkara ini.

"Apa yang Indah boleh katakan selama ini Indah hanya melakukan apa sahaja yang diarahkan pengurusan tanpa bercakap banyak. Dalam hal ini, Indah percaya apa yang mereka rasakan terbaik memang untuk kepentingan diri sendiri juga. Malah dengan sesiapapun yang Indah temui, sisi gila-gila Indah akan terbit. Sebagai contoh ketika sesi fotografi.

"Malah selama ini kalau ada sesi fotografi atau undangan persembahan memang mana-mana pihak akan terus berurusan dengan pihak pengurusan. Siapalah yang tergamak cakap Indah seperti sudah berlagak. Jika betul ada pihak yang berasakan Indah sudah diva, datang berdepan jumpa dan kita bawa bincang. Jangan cakap sahaja seperti baling batu sembunyi tangan. Hal ini boleh bawa bincang. Saya hanya manusia biasa," katanya.

Penyanyi lagu Percayalah yang pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu ke-29 dan top 5 Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 ini berharap pihak yang mengenali dan pernah berurusan dengannya tidak pantas menjatuh hukuman serta mencipta spekulasi sendiri.

"Saya tak takut atau gentar dengan tuduhan sebegini. Cuma dalam hati terdetik, siapalah yang bawa cerita ini. Mungkin juga mereka tak kenal siapa Indah yang sebenarnya," katanya.

Berita Harian X