Selasa, 23 Jun 2015 | 9:47am

Elfira Loy bernaung dengan LOL

KUALA LUMPUR: Melihat senarai artis yang tertera di jemputan berbuka puasa syarikat pengurusan artis, Laugh Out Loud (LOL) Entertainment milik Dafi Ismail dan rakan kongsinya, Afeeq, nama Elfira Loy turut kelihatan.

Bererti selepas Jihan Muse dan bintang termuda Aaisyah Dhia Rana yang juga anak kepada pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Elfira Loy turut mengikuti jejak sama.

Perkembangan terbaharu itu disahkan LOL namun belum ada kenyataan rasmi daripada syarikat berkenaan dan juga Elfira Loy.

Pastinya pengumuman itu akan dilakukan pada 25 Jun ini dalam satu majlis berbuka puasa yang akan diadakan di sebuah hotel di ibu kota.

Malah pada acara lelongan amal yang diadakan Ahad lalu di pusat beli-belah Nu Sentral Elfira turut kelihatan bersama sama artis LOL lain pada acara itu.

Pada majlis itu juga LOL akan meraikan ulang tahunnya yang kelima.

Artis lain yang juga menaungi syarikat itu ialah Rozita Che Wan, Dafi, Sabhi Saddi dan Zain Saidin.

Sebelum ini, Sherry Ibrahim dan Bella Dally juga pernah menggunakan khidmat LOL namun kini memilih untuk bergerak sendiri.

Berita Harian X