Khamis, 18 Jun 2015 | 6:40pm

Remy Ishak belum tetapkan tarikh kahwin

Remy Ishak
Remy Ishak

KUALA LUMPUR: Aktor Remy Ishak menegaskan dirinya belum menetapkan tarikh untuk berkahwin dengan kekasihnya, Roszaliza Yusof, 32 yang juga Pengarah Urusan Roitz Labels.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 33, menjelaskan keengganan beliau untuk bercerita lanjut kerana isu itu terlalu peribadi untuk dikongsi umum.

"Dengan adanya media sosial pada zaman sekarang, manusia menghentam sesama sendiri. Sedikit sebanyak mencalarkan nama keluarga adik beradik saya.

"Kalau tak jadi nanti orang akan hentam, jadi sebaik mungkin saya cuba menjaga hubungan ini sebelum ada ikatan lebih serius.

"Saya dah bawa dia berjumpa dengan emak saya namun fokus pada ketika ini adalah perkahwinan adik saya pada bulan September ini," kata Remy.

Tegas Remy, faktor utama beliau merahsiakan hubungan cintanya adalah bagi menjaga hati kedua belah pihak. Beliau mengambil iktibar dari kegagalan percintaannya sebelum ini.

"Saya berhak untuk berkawan. Jadi kerana itu jika hubungan ini pada masa depan gagal, janganlah menuding jari kepada sesiapa. Itu adalah faktor utama saya kurang gemar bercerita mengenai kisah cinta.

"Pertama kali dalam hal sebegini orang ramai jangan jadi 'judgemental'. Benda tak betul boleh jadi fitnah.

"Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada dia (Roszaliza) kaki kelab, kaki minum dan banyak lagi. Lagipun manusia berubah, kenapa tidak kita membimbing mereka ke jalan yang benar?," kata Remy.

Beliau turut menjelaskan berhubung status Roszaliza yang dikatakan seorang ibu tunggal adalah salah faham semata-mata.

Dua orang kanak-kanak perempuan iaitu Damia dan Dania yang dilihat sering bersama mereka adalah anak angkat kepada Remy.

"Mereka berdua panggil saya Cikgu Daud kerana saya sering mengajar mereka. Saya sudah menjaga mereka hampir dua tahun. Kiranya saya mengambil giliran menjaga mereka.

"Damia dan Dania adalah anak kepada kawan saya. Mereka tidaklah terus dengan saya pun. Saya membiayai yuran persekolahan mereka berdua," ujarnya.

Berita Harian X