Selasa, 14 April 2015 | 3:00pm
PELAKON Pekin Ibrahim melakonkan watak Slash di dalam filem Rock Bro! - Foto ihsan perihalnegara.blogspot
PELAKON Pekin Ibrahim melakonkan watak Slash di dalam filem Rock Bro! - Foto ihsan perihalnegara.blogspot

Pekin ikat perut demi Slash

KUALA LUMPUR : Pelakon Pekin Ibrahim mengakui mengikat perut untuk menjayakan watak Slash bagi filem Rock Bro! arahan Mamat Khalid.

Dalam tempoh dua minggu, Pekin berjaya mengurangkan lima kilogram daripada 70 kilogram (kg) dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Tindakan mengurangkan berat badan itu diambil atas perbincangan bersama dengan pengarah filem Rock Bro! itu.

Jejaka berusia 35 tahun itu berkongsi, beliau tidak menyentuh nasi dan menggantikan makanan ruji itu dengan oat. Tindakan mengurangkan berat badan itu diambil atas perbincangan bersama dengan pengarah filem Rock Bro! itu.

"Saya memang tidak makan nasi dan hanya mengambil oat, malah gula pun memang saya langsung tidak sentuh. Alhamdulillah, dalam tempoh dua minggu lebih saya berjaya mengurangkan lima kilogram. Berat badan saya naik kerana sering makan lewat ketika lepak pada waktu malam. Jika dikirakan saya bukan jenis yang kuat makan pun tetapi makan pada waktu yang tidak sesuai.

"Selepas berbincang dengan abang Mamat, saya memilih untuk mengurangkan berat badan demi watak Slash. Selain untuk kerjaya, ia juga bagus untuk kesihatan saya, ditambah pula dengan faktor usia," katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan terkini, Pekin sedang menjalani penggambaran Rock Bro! yang bakal berakhir dua hari lagi. Filem Rock Bro! adalah sekuel terakhir selepas dua filem terdahulu iaitu Rock dan Rock OO.

Mengulas mengenai wataknya dalam filem Rock Bro!, wataknya kini lebih ditonjolkan berbanding Rock OO yang hanya diberikan beberapa kerat dialog sahaja.

"Peminat yang menonton sekuel sebelum ini pasti akan berpuas hati dengan karya terbaharu abang Mamat ini kerana mereka akan dapat melihat perkembangan watak dari kecil hingga tua serta hala tuju watak itu.

"Rock Bro! juga melengkapkan portfolio bagi filem Rock dan Rock OO. Kita juga dapat melihat senario kegemilangan zaman rock hinggalah ke penghujungnya," kata Pekin mengakhiri perbualan.

Berita Harian X