Selasa, 28 Oktober 2014 | 5:26pm

Lara Alana disayangi dan kami tumpang gembira - Scha Alyahya

KUALA LUMPUR: Berbanding akaun Instagram anak selebriti lain, ternyata Lara Alana yang lahir hasil perkongsian hidup Scha Alyahya dan Awal Ashaari mencipta sensasi tersendiri apabila akaun miliknya itu mencatat jumlah pengikut paling ramai sekelip mata.

Bayangkan ketika majlis aqiqah diadakan untuknya, pengikut Lara yang dilahirkan pada 22 Julai lalu di laman Instagram mencecah dari puluhan ribu kepada ratusan ribu. Kini pengikut Lara di laman Instagram sudah 138,000 individu.

Scha sewaktu ditanyakan mengenai akaun Instagram yang diwujudkan untuk anaknya itu mengakui cukup tidak menyangka Lara mampu menarik pengikut di laman bergambar popular itu.

Akaunnya dibuka kalau mengikut gambar pertama dimuat naik ialah pada 21 minggu lalu. Bagaimanapun ketika itu akaun Lara hanya boleh diakses jika pengikut Instagram memohon untuk menjadi pengikutnya saja. Tapi kini akaunnya boleh diakses begitu saja.

"Tapi pada pendapat saya, kalau bayi ini memang orang suka tengok. Lagipun akaun Instagramnya kami wujudkan seperti jurnal kehidupannya dari zaman saya mengandungkan dia hinggalah dia buka mata mengenal dunia.

"Alhamdulillah apabila ramai yang nak ikut perkembangan dia, kami tumpang gembira. Sekurang-kurangnya juga kami boleh berkongsi dengan peminat bagaimana kami membesarkannya. Dia disayangi. Alhamdulillah," katanya.

Di laman Instagram Lara di bawah nama @lara.alana, si comel ini hanya mengikut akaun ibu dan bapanya saja.

Berita Harian X