Selasa, 28 Oktober 2014 | 4:13pm
 SI pengarang jantung Tomok dan isterinya, Arrian
SI pengarang jantung Tomok dan isterinya, Arrian
KELUARGA bahagia Tomok
KELUARGA bahagia Tomok

Belum terfikir buka akaun Instagram untuk Arrian - Tomok

KUALA LUMPUR: Bagaikan sudah menjadi kemestian, selebriti tempatan kini mewujudkan akaun Instagram untuk anak masing-masing. Ning Baizura, Yasmin Hani, Diana Danielle dan Farid Kamil antara contoh yang boleh diberikan.

Akaun Instagram Lara Alana iaitu anak Scha Alyahya dan Awal Ashaari, mencatat jumlah pengikut paling ramai biarpun tidak sampai sehari dibuka. Kini jumlah pengikut Lara di akaun bergambar popular yang belum genap seminggu itu sudah mencecah 135,000 individu.

Barangkali gabungan populariti Scha dan Awal menjadi formula terbaik mengapa anak mereka yang comel itu diikuti ramai.

Tomok ketika ditanya mengenai perkara ini belum terfikir untuk membuka akaun Instagram untuk anaknya, Arrianshah Akid.

Ternyata Arrianshah atau lebih mesra dipanggil Arrian juga mempunyai ramai peminat. Lihat saja akaun Instagram Tomok yang memuat naik gambar anaknya itu, pasti ramai yang memberi komen dan menekan butang like.

"Buat masa sekarang saya belum terfikir nak buka akaun Instagram untuknya. Lagipun saya sendiri ada akaun laman sosial bukan saja di Instagram tetapi Facebook dan Twitter yang perlu dipantau serta dikemaskini senantiasa untuk peminat.

"Tapi siapa tahu ke depan nanti mungkin saya tergerak akan ke arah itu. Bagi saya aliran selebriti membuka akaun Instagram ini terpulang kepada ibu bapa mereka sendiri. Masing-masing ada cara untuk berkongsi rutin harian termasuk gambar anak," katanya.

Kekerapan gambar Arrian dimuat di Instagram ternyata mendapat banyak like berbanding gambar Tomok sendiri. Sebagai bapa, Tomok tak kisah kerana dia tahu manusia kebanyakannya memang sukakan kanak-kanak.

Tomok baru saja muncul dengan album baru berjudul Aku Datang. Penantiannya selama empat tahun akhirnya bernoktah. Album itu turut memuatkan dua buah lagu ciptaannya.

Berita Harian X