Sabtu, 20 September 2014 | 4:17pm

TV9 bolot enam trofi di Anugerah Lawak Warna

JASMIN Hamid menang Pelakon Komedi Wanita Terbaik. - Foto Zunnur Al Shafiq
JASMIN Hamid menang Pelakon Komedi Wanita Terbaik. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pada Anugerah Lawak Warna yang berlangsung semalam di Teater Selangor, Shah Alam, kategori drama menyaksikan saluran TV9 di bawah naungan Media Prima Berhad menang enam trofi.

Lima dari kategori itu dimenangi menerusi drama Bila Joyah Dah Goyah dan satu lagi kategori iaitu Lakon Layar Komedi Terbaik menerusi telefilem Bini Aku Hantu Langsuir sentuhan Jamal Khan. Kedua telefilem yang menang ini disiarkan di Slot Skrin Di 9.

Bila Joyah Dah Goyah menang kategori Pelakon Komedi Lelaki Terbaik dimenangi Kazar Saisi, Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Jasmin Hamid), Pengarah Komedi Terbaik (Nazir Jamaluddin), Rancangan Komedi Hiburan Terbaik dan Skrip Komedi Terbaik (MF Kenchana).

KAZAR Saisi menang Pelakon Komedi Lelaki Terbaik. - Foto Zunnur Al Shafiq
KAZAR Saisi menang Pelakon Komedi Lelaki Terbaik. - Foto Zunnur Al Shafiq

Filem Sejoli turut menang besar apabila merangkul enam kategori iaitu Filem Komedi Terbaik, Lakon Layar Komedi Terbaik, Skrip Komedi Terbaik, Pengarah Komedi Terbaik (Osman Ali), Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Maya Karin) dan Pelakon Komedi Lelaki Filem Terbaik (Bront Palarae).

Sebanyak 21 kategori dipertandingkan. 15 daripadanya ialah kategori filem dan drama, tiga kategori popular dan selebihnya Anugerah Khas Juri. Anugerah Lawak Warna dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Nabila Huda. Ia disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Berita Harian X