Isnin, 18 Ogos 2014 | 6:51pm
Hotel Legoland Malaysia Resort
Hotel Legoland Malaysia Resort

Legoland siasat kejadian kakak, rakan Nora Danish terperangkap dalam lif

JOHOR BAHRU: Legoland Malaysia Resort akan menyiasat dengan teliti kejadian kakak dan rakan pelakon Nora Mohd Danish Hanif atau Nora Danish yang terperangkap di dalam salah sebuah lif di Hotel Legoland semalam.

Pengurus Perhubungan Awamnya, Deviga Doreraja, berkata pihak pengurusan hotel menyedari kejadian yang menimpa kawan dan kakak pelakon itu.

"Kami menghadapi masalah mekanikal dengan satu daripada lif di hotel itu malam tadi dan kami sekali lagi memohon maaf kepada keluarga yang terlibat dalam insiden itu.

Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan untuk memastikan insiden ini disiasat dengan rapi. Kami kini di peringkat awal proses itu dan akan mengemaskinikannya sebaik sahaja kami melengkapkan siasatan, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengarah hotel itu berada di sana untuk membantu keluarga itu apabila menyedari kejadian itu dan keselamatan kesemua tetamu adalah keutamaan pusat peranginan itu.

Nora berkata insiden itu melibatkan kakaknya Nadia, kawan rapatnya Zarema Zainal yang merupakan isteri kepada pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak dan seorang pengawal peribadi.

"Kakak saya @danishnadya, kawan saya yang mengandung @zaremazainal and pengawal peribadi ned @gg_brutale terperangkap di dalam lif selama sejam!," kata pelakon itu dalam Instagramnya yang mempunyai lebih sejuta pengikut.

Beliau mendakwa Nadia telah menekan butang kecemasan di dalam lif itu selama 10 minit sebelum dijawab oleh seseorang. - BERNAMA

Berita Harian X