Beberapa minggu lalu, saya melawat Muhammad Hafizi bin Idris, seorang pekerja gig dalam Sektor Penghantaran Barangan atau Makanan bersama FoodPanda berusia 34 tahun yang berada dalam keadaan koma sejak 6 bulan lalu di Wad Neurosurgeri Hospital Sungai Buloh. Beliau yang dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), telah menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM 7,000 serta rawatan perubatan, termasuk bekalan sokongan pemulihan seperti ripple mattresses dan lampin pakai buang.
Semalam pula, saya menziarahi waris Allahyarham Mohamad Khairul Nizam bin Abdul Rashid, selepas insiden kemalangan yang meragut nyawa seorang penghantar barangan dan makanan bersama Grab ini. Alhamdulillah, Allahyarham juga mencarum SKSPS, justeru keluarganya akan menerima Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM 1,395 sebulan sehingga ke akhir hayat isterinya.
Namun satu hakikat yang perlu kita sedari adalah - tidak semua penunggang penghantaran dilindungi sekiranya ditimpa bencana pekerjaan atau kemalangan.
Pada tahun 2022, sebanyak 33,421 tuntutan telah difailkan kepada PERKESO berkaitan kemalangan semasa dalam perjalanan, di mana 1,831 daripada pemohon tidak dilindungi kerana caruman mereka tidak mencukupi atau tidak wujud dalam sistem PERKESO.
Daripada ribuan kemalangan melibatkan orang bekerja sendiri yang dilaporkan kepada PERKESO, lebih 125 keluarga tidak layak mendapat faedah keselamatan sosial walaupun mereka kehilangan pencari nafkah utama.
Secara purata, seramai 3.5 juta pekerja tidak formal di Malaysia, termasuk lebih 740 ribu pekerja gig berisiko terjerumus dalam kemiskinan apabila berhadapan dengan situasi luar jangka dalam kehidupan, kerana kekurangan akses kepada perlindungan sosial.
Era globalisasi dan kemajuan teknologi telah menyusun semula model perniagaan tradisional dan memberi ruang kepada kemunculan bentuk pekerjaan baharu seperti pekerja platform gig. Ini menyebabkan ramai pekerja kini beralih kepada pekerjaan tidak formal kerana ia menawarkan lebih fleksibiliti dan kemudahan berbanding pekerjaan formal.
Berikutan trend ini, PERKESO telah memperkenalkan SKSPS di bawah Akta 789 dalam tahun 2017 untuk melindungi semua individu bekerja sendiri. Secara strategiknya, pendekatan PERKESO ini bertujuan untuk membina rangka kerja perundangan bagi melindungi golongan bekerja sendiri secara sukarela terlebih dahulu sebelum sebelum caruman dikenakan secara mandatori, dan seterusnya, perlindungan secara automatik.
Rangka kerja ini meliputi ciri-ciri pekerjaan sendiri seperti tiada hubungan antara majikan dan pekerja, pendapatan yang tidak menentu dan fleksibiliti dalam pekerjaan.
Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, bebanan caruman keselamatan sosial ditanggung oleh individu bekerja sendiri, yang merupakan satu cabaran untuk mereka menyertai SKSPS. Penyedia platform atau pengawal selia awam majoritinya tidak membantu mencarum bagi pihak pekerja ini dalam ekosistem tersebut.
Semasa tempoh pandemik, Kerajaan telah memberikan geran padanan caruman sebanyak 80 peratus atau geran caruman penuh kepada golongan bekerja sendiri tertentu, di bawah pelbagai program termasuk SPS Khidmat dan SPS Padanan Caruman.
Secara amnya, inisiatif kerajaan ini bertujuan mengurangkan beban kewangan pekerja gig untuk membayar caruman serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan individu bekerja sendiri untuk mencarum secara sukarela di bawah SKSPS.
Bersama bantuan subsidi Kerajaan, PERKESO akan beransur-ansur menguat kuasakan pendaftaran dan caruman mandatori, bermula dengan individu bekerja sendiri dalam sektor Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan.
Warta Persekutuan membolehkan PERKESO menjalankan aktiviti penguatkuasaan melalui Bulan Pemutihan dan Ops Kesan, bagi memastikan semua pekerja dilindungi.
Namun begitu, ekonomi tingkah laku (behavioural economy) mengajar saya bahawa pematuhan tidak akan dapat dicapai 100 peratus. Justeru, PERKESO telah mewujudkan kolaborasi dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan dalam merangka strategi pelaksanaan kami.
Pada hemat saya, adalah amat penting bagi agensi-agensi kerajaan bertindak secara bersepadu dan mendorong pemandu e-hailing dan p-hailing ke arah perlindungan secara automatik. Sebagai contoh, caruman PERKESO boleh diperkenalkan sebagai kriteria pengeluaran dan pembaharuan lesen pengangkutan.
Jika kita boleh menginsuranskan kereta dan motosikal yang membawa kita dari satu tempat ke tempat lain, mengapa kita tidak boleh melindungi diri sendiri yang bekerja keras mencari rezeki, juga ahli keluarga yang bergantung hidup dengan kita?
Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, PERKESO dijangka memperluaskan strategi ini kepada golongan bekerja sendiri dalam semua sektor ekonomi.
Padanan caruman daripada Kerajaan telah dilanjutkan dalam tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM 100 juta dan disasarkan kepada individu bekerja sendiri dalam golongan mudah terjejas.
Dalam usaha PERKESO menerajui dan memperluaskan liputan perlindungannya, saya turut membayangkan keperluan lain untuk pekerja seperti keselamatan dan kesihatan pekerjaan, dana simpanan persaraan dan gaji minimum yang akan menyusul tidak lama lagi demi memastikan individu bekerja sendiri di Malaysia mendapat perlindungan yang lebih menyeluruh.
Ingin saya tekankan bahawa perlindungan sosial adalah hak asasi manusia dan tiada siapa, termasuk keluarga dan insan tersayang yang bergantung hidup dengan para pekerja ini, yang harus dipinggirkan.
Ketua Eksekutif PERKESO, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed