Isnin, 21 Disember 2020 | 11:00am
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai

Beban cukai individu, korporat di Malaysia kesan COVID-19

Kerajaan bertanggungjawab menyediakan persekitaran sesuai untuk membolehkan setiap warga hidup dengan sejahtera.

Ini termasuk menyediakan kemudahan awam seperti jalan raya, kemudahan elektrik, air, pengangkutan awam, sekolah, hospital dan klinik, kemudahan pasar, masjid, balai polis, taman dan kawalan trafik seperti lampu isyarat serta pelbagai lagi.

Kerajaan juga perlu menyediakan persekitaran sesuai untuk perniagaan beroperasi dan menjana pendapatan serta keuntungan seperti ruang niaga, taman industri dan kemudahan perniagaan lain. Ia membolehkan isi rumah mendapat pekerjaan dan menjana sumber pendapatan untuk hidup bahagia serta sejahtera.

Sebagai balasan mendapat peluang dan keistimewaan mendapat pekerjaan atau berniaga serta melakukan aktiviti menjana hasil dan meraih keuntungan operasi, setiap unit ekonomi khususnya individu, peniaga dan syarikat diminta  menyumbang kepada kerajaan dalam bentuk cukai.

Individu akan diminta membayar cukai pendapatan ke atas pendapatan penggajian dan perniagaan mereka. Syarikat juga akan diminta membayar cukai pendapatan syarikat setiap tahun.

Dokumen Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2021, dalam seksyen Hasil Kerajaan Persekutuan menganggarkan, jumlah kutipan cukai bagi 2021 ialah RM174.37 bilion, berkurang sebanyak RM6.196 bilion berbanding 2019.

Daripada jumlah ini, dianggarkan komponen hasil cukai langsung ialah RM131.87 bilion. Cukai langsung meliputi tiga jenis cukai besar, iaitu Cukai Syarikat yang dianggarkan akan menyumbang RM64.596 bilion, Cukai Pendapatan Petroleum sebanyak RM13 bilion dan Cukai Pendapatan individu RM 42.439 bilion.

Selain sumber cukai, kerajaan dianggarkan terpaksa bergantung kepada pendapatan bukan cukai dan pinjaman untuk menutup kekurangan pendapatan bagi menampung belanjawan kerajaan yang semakin mengembang.

Hasil bukan cukai akan menyumbang 19.4 peratus daripada jumlah hasil meliputi anggaran RM 36.775 bilion (termasuk komitmen dividen daripada PETRONAS sebanyak RM34 bilion) dan RM12.736 bilion daripada kutipan bayaran lesen dan permit.

Ada lebih RM85.64 bilion atau 26.55 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang perlu dibiayai melalui pinjaman.

Ini pastinya akan memberi dua implikasi besar kepada negara kenaikan kadar defisit belanjawan berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (yang dianggarkan sebanyak 5.4 peratus) dan kenaikan kadar pinjaman negara berbanding KDNK (dianggarkan menghampiri kadar 60 peratus yang sudah diluluskan Parlimen).

Tidak dapat dielakkan, pada satu pihak, iaitu kerajaan berasakan, ada hak khusus untuk mengutip cukai kerana sudah menyediakan semua bentuk kemudahan dan infrastruktur, mengurusnya dengan baik serta memastikan persekitaran hidup dan ekonomi menjadi sesuai untuk membolehkan setiap unit ekonomi – individu, keluarga dan perniagaan menjana pendapatan setiap hari, bulan serta tahun.

Pada pihak lain, pembayar cukai khususnya individu, berasakan bahawa cukai adalah beban besar yang perlu mereka tanggung dalam menjalani kehidupan harian.

Apakah kadar cukai syarikat dan individu di Malaysia kini sudah cukup sesuai, tidak perlu diubah, walaupun wujud kesan tambahan bebanan hidup disebabkan kesan COVID19?

Kaedah paling asas untuk menentukan kadar beban cukai rakyat di sebuah negara adalah dengan melihat kadar jumlah kutipan cukai berbanding dengan KDNK.

Kadar cukai berbanding dengan anggaran KDNK bagi Malaysia hanyalah 12.5 peratus. Negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, India dan China semuanya mempunyai kadar cukai berbanding dengan KDNK melebihi 20 peratus.

Singapura mempunyai kadar 14.2 peratus, manakala Indonesia 12.0 peratus mengatasi kedudukan Malaysia. Hanya negara yang dianggap negara ketiga seperti Laos 10.8 peratus, Kemboja 8.0 peratus dan Myanmar pada 4.9 peratus yang mempunyai kadar lebih rendah daripada Malaysia.

Di Malaysia, Cukai Pendapatan Individu berbanding dengan KDNK ialah 2.7 peratus, manakala Cukai Korporat berbanding dengan KDNK ialah 4.12 peratus.

Kita boleh bandingkan ini dengan purata bagi negara Organisasi Kerja Sama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), iaitu 23.9 peratus bagi cukai pendapatan individu dan 9.3 peratus untuk cukai pendapatan syarikat.

Kadar di Malaysia adalah jauh lebih rendah daripada negara OECD yang boleh dianggap sebagai 'penanda aras'.

Perbandingan kadar cukai

  • Kadar cukai korporat dan beban cukai

Kadar cukai pendapatan di Malaysia secara purata rendah berbanding dengan negara lain di dunia. Bagi negara ASEAN, kadar cukai korporat purata ialah 20 peratus.

Di Malaysia, kadar standardnya ialah 24 peratus. Namun, satu kadar lebih rendah 17 peratus untuk syarikat kecil dan sederhana dipraktikkan.

Beberapa negara di Asia dan Eropah mempunyai kadar cukai yang lebih rendah daripada 20 peratus, iaitu Hong Kong pada 16.5 peratus, Singapura (17 peratus) dan UK (19 peratus).

Walaupun kadar standard syarikat 24 peratus, kadar purata jauh lebih rendah kerana lebih 90 peratus syarikat di Malaysia adalah dalam kumpulan yang modal ekuitinya kurang daripada RM2,500,000.

Syarikat ini membayar cukai pada kadar 17 peratus, walaupun dari segi nilai cukai yang dikutip lebih 80 peratus datang daripada kumpulan syarikat besar.

  • Kadar cukai individu dan beban cukai

Kadar margin cukai maksimum di Malaysia adalah agak rendah pada 30 peratus berbanding dengan negara lain di dunia.

UK mempunyai kadar maksimum 47 peratus, AS (51.8 peratus), China (45 peratus) dan Turki (40 peratus). Hanya ada beberapa negara Asia yang kadar cukainya lebih rendah daripada Malaysia – Hong Kong (15 peratus), Kemboja (20 peratus), Singapura (22 peratus) dan Sri Lanka (15 peratus).

Di Malaysia, hanya selepas seorang pemastautin itu memperoleh pendapatan bersih (selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sebanyak RM34,000 barulah mereka perlu membuka fail cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Banyak keistimewaan yang diberi dalam bentuk pelepasan diri, isteri, anak dan perbelanjaan perubatan serta lainnya sehingga selepas ditolak semua pelepasan ini hanya jumlah yang melebihi RM34,000 yang akan dicukai.

Patutkah kadar cukai diturunkan?

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melakukan kajian respon kewangan negara dunia ke atas impak pandemik COVID-19 yang baharu sahaja diterbitkan.

Kajian ini menonjolkan bagaimana kebanyakan negara dunia tidak pun berasakan keperluan untuk menurunkan kadar cukai pendapatan untuk mengambil kira kesan kegawatan.

Pengecualian khusus adalah bagi Indonesia yang membuat keputusan menurunkan kadar cukai korporatnya daripada 25 peratus kepada 22 peratus bagi 2021 dan berjanji untuk menurunkan lagi menjadi 20 peratus pada 2022.

Negara maju seperti AS, Kanada, Jerman, Jepun, China, India sehinggalah ke negara dunia ketiga di Afrika, Asia dan Amerika Selatan semuanya sudah menawarkan insentif penangguhan cukai daripada cuba menurunkan kadar cukai.

Menangguhkan kutipan cukai selama setahun boleh memberi peluang pembayar cukai dan syarikat untuk bernafas lega sedikit dan menyelaraskan kedudukan kewangan mereka dalam jangka pendek ini.

Sesetengah negara pula menangguhkan kutipan untuk sebahagian sahaja daripada jumlah cukai yang sepatutnya dikutip.

Dijangkakan Malaysia akan mengalami defisit belanjawan 5.4 peratus atau RM85 juta. Ini adalah lebih 64 peratus daripada jumlah anggaran kutipan cukai langsung bagi 2021.

Jika semua pembayar cukai individu menangguhkan pembayaran cukai, defisit belanjawan akan meningkat 2.7 peratus lagi menjadi 8.1 peratus yang pastinya akan meningkatkan tahap kesesakan kewangan negara.

Jadi, Kerajaan Malaysia tidak mampu untuk memberikan konsesi sebegitu besar kepada para pembayar cukai.

Kemungkinannya kerajaan berupaya membenarkan pembayar cukai untuk mengatur pembayaran secara ansuran cukai bagi beban cukai berkait dengan pendapatan pada tahun 2019 dan 2020.

Mengatur pembayaran secara ansuran sepanjang 2021, sebenarnya akan mengimbangi keperluan perbelanjaan bulanan kerajaan dengan aliran tunai daripada bayaran ansuran cukai.

Kerajaan Malaysia perlu menerima hakikat bahawa pembiayaan belanjawan kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil cukai.

Sejak bertahun lamanya hasil cukai sememangnya rendah berbanding dengan jumlah belanjawan tahunan negara pada 54 peratus. Untuk membiayai defisit belanjawan, kerajaan tidak ada pilihan, selain daripada membuat pinjaman. Bagi 2021, jumlah pinjaman ini akan menjangkau 26.5 peratus daripada sumber kewangan kerajaan (RM85 bilion).

Pembayar cukai individu perlu menekankan prinsip menyumbang untuk kebahagiaan seluruh warga Malaysia selain daripada semata-mata mematuhi undang-undang cukai.

Berasaskan pada prinsip pengurusan kewangan Islam misalnya, daripada jumlah pendapatan yang kita peroleh, ia sepatutnya dibahagi kepada tiga bahagian;

Sepertiga untuk dilaburkan semula sebagai pelaburan benih untuk mengembangkan perniagaan dan sumber pendapatan, manakala sepertiga lagi bagi membiayai belanja hidup seperti makan, minum, pakaian dan perlindungan (rumah).

Sementara, sepertiga lain untuk dilaburkan sebagai pelaburan abadi – Inilah jumlah yang sepatutnya disumbangkan oleh setiap individu untuk kesejahteraan masyarakat, termasuk dalam bentuk cukai, zakat, sedekah, jariah dan paling penting sumbangan wakaf.

Semoga ia akan mendapat ganjaran besar di akhirat. Jika ia boleh diamalkan, setiap kita akan ikhlas dan selesa untuk membuat sumbangan, termasuk membayar cukai setiap tahun.

Penulis ialah Profesor dan Pengarah Program MBA in Global Islamic Finance Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK)

Berita Harian X