Sabtu, 1 Julai 2017 | 7:00am
DATUK Munirah Abdul Hamid (kiri) bersama salah seorang sukarelawan terus menunjukkan minat dalam menangani isu gelandangan.
DATUK Munirah Abdul Hamid (kiri) bersama salah seorang sukarelawan terus menunjukkan minat dalam menangani isu gelandangan.

Semangat tegar Munirah bantu gelandangan

ANTARA sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen yang turut turun padang untuk menyampaikan makanan percuma.
ANTARA sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen yang turut turun padang untuk menyampaikan makanan percuma.

KUALA LUMPUR: Semangat dan minat Datuk Munirah Abdul Hamid, 67, dalam dunia sukarelawan yang disemai sejak berusia 17 tahun tidak pernah luntur, sebaliknya diteruskan hingga kini dengan menyelami masalah hidup golongan gelandangan.

     Munirah yang juga pengasas Pertiwi Soup Kitchen, pertubuhan sukarela yang beRorentasikan projek, cukup dikenali sebagai pekerja sosial aktif.

Sepanjang lebih 40 tahun dalam kerja sukarelawan, beliau banyak menyumbang kepada masyarakat, terutama untuk kebaikan wanita dan kanak-kanak dalam pendidikan.   

    

  Berada dalam dunia korporat, ibu dan nenek yang juga pengasas bersama Malaysian Genomics Resource Centre Berhad serta kumpulan syarikat Neuramatix ini, tidak sedikit pun kekok menghulurkan bakti dan kudrat bagi membantu golongan gelandangan.

 SELAMA tujuh tahun, Pertiwi Soup Kitchen terus memberikan sokongan menerusi pemberian makanan percuma kepada gelandangan di sekitar ibu kota.
SELAMA tujuh tahun, Pertiwi Soup Kitchen terus memberikan sokongan menerusi pemberian makanan percuma kepada gelandangan di sekitar ibu kota.

Kasihan dan simpati

Sejak tujuh tahun lalu, atas dasar simpati dan kasihan menerusi Pertiwi Soup Kitchen, Munirah menelusuri lorong kecil sekitar ibu kota semata-mata menghulurkan sesuap nasi kepada penghuni kecil di kota metropolitan yang barangkali sudah berhari-hari kelaparan.

      Usaha itu diteruskan Munirah sehingga kini dan beliau sememangnya lebih senang berbakti menghulurkan makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota, di samping membantu mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta gunting rambut percuma.

      Katanya, jika dulu pemberian makanan percuma diagihkan di sekitar Chow Kit, Kotaraya, Masjid Jamek dan kawasan yang ramai dihuni gelandangan, kini agihan dibuat berpusat iaitu di Pusat Agihan Makanan di Medan Tunku, ibu negara.

      Pemberian makanan percuma itu membabitkan lebih 300 gelandangan iaitu pada waktu malam dan dilakukan sebanyak empat kali seminggu.

   "Pertiwi Soup Kitchen yang diasaskan pada 2010 menjadi landasan kepada saya untuk mendekati golongan sasaran dengan mengedar makanan kepada yang kurang bernasib baik.

"Semua ini dibuat atas dasar kemanusiaan kerana tidak mahu melihat mereka kelaparan. Langkah itu juga bagi memastikan golongan kurang bernasib baik itu menikmati makanan sihat dan berkualiti," katanya BH.

  

   Bermula dengan empat sukarelawan, kini pertubuhan sukarela itu mempunyai lebih 100 sukarelawan pelbagai latar belakang. Ini meringankan kerja pengagihan makanan dan bantuan perubatan kepada gelandangan.

 

SELAIN pemberian makanan percuma, Pertiwi Soup Kitchen turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut dan pemeriksaan kesihatan.
SELAIN pemberian makanan percuma, Pertiwi Soup Kitchen turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut dan pemeriksaan kesihatan.

PRESIDEN Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid (kanan) bersama barisan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia.
PRESIDEN Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid (kanan) bersama barisan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia.

Ringankan bebanan

Malah, tidak dinafikan sejak Pertiwi Soup Kitchen aktif membela nasib gelandangan, banyak pihak membuka mata dan ada yang turut sama membantu menghulur tangan meringankan golongan tidak bernasib baik ini.

     

 "Sungguhpun masalah gelandangan kian mendapat perhatian masyarakat tempatan, ia masih sukar diselesaikan kerana isu sensitif ini membabitkan pelbagai faktor kecenderungan.

"Pelbagai masalah yang dihadapi golongan gelandangan ini, termasuk dibuang keluarga, muflis, dipecat majikan dan kesempitan wang akibat kos sara hidup yang tinggi.

     

"Usaha NGO (Pertubuhan bukan kerajaan) ini, bukan bertujuan menggalakkan gelandangan terus menjadi penerima makanan percuma, sebaliknya sebagai badan sokongan untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah dihadapi golongan terbabit.

"Ada yang sakit, kalau sihat pula tidak ada kerja, jadi saya mahu bantu sedaya termampu. Selain dewasa, kanak-kanak juga menjadi tumpuan," katanya.

Munirah berkata, masyarakat lebih mudah menyalahkan gelandangan kerana anggap mereka tidak mahu bekerja. Hakikatnya, tidak ramai majikan mahu memberikan pekerjaan kepada golongan ini, malah ada yang menawarkan kontrak kerja singkat.

"Mungkin pada yang benar-benar berkelayakan saja tetapi bagaimana bagi yang langsung tidak berpelajaran, penagih dadah atau pernah melakukan kesalahan lain, tentu sukar untuk mereka bersama-sama dalam masyarakat.

"Justeru, kami membantu gelandangan wanita dan lelaki di sekitar ibu kota untuk mendapatkan pelbagai jenis perniagaan antaranya di kawasan pusat sukan, pekerja hotel, tukang cuci dan banyak lagi mengikut kesesuaian," katanya.

PENGERUSI, Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid. - Foto Khairul Azhar Ahmad
PENGERUSI, Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Tempat rujukan

Munirah berkata, Pertiwi Soup Kitchen turut menjadi tempat rujukan dan penyelesai kepada pelbagai masalah dialami gelandangan.

   "Selain membantu mereka mendapatkan pekerjaan, kami juga menguruskan borang permohonan untuk gelandangan mendapatkan rumah, kad pengenalan diri hinggalah ke rawatan kesihatan dan penjagaan diri.

   "Kami cuba bantu dan beri sokongan supaya mereka dapat peluang memulakan kehidupan," katanya.

      Selain orang dewasa, terdapat juga sebilangan kanak-kanak tinggal bersama mereka di kaki-kaki lima, belakang dan hadapan bangunan.

   "Keadaan ini amat membimbangkan kerana kanak-kanak menjalani rutin kehidupan yang tidak normal dan pastinya tidak sihat untuk mereka apabila sering berjaga lewat malam.

   "Sehubungan itu, kini kerjasama dengan pihak kerajaan berkaitan sedang giat dijalankan untuk mencari penyelesaian terhadap punca kecenderungan membuatkan anak ini tidak berjaga di malam hari." katanya.

      Mengenai cabaran terbesar dihadapi, kata Munirah ialah memastikan mempunyai dana yang mencukupi untuk dapat bertahan.

      Justeru, Munirah bekerja keras dan melakukan pelbagai pendekatan, termasuk berusaha memperkuat hubungan antara NGO serta agensi kerajaan bagi memastikan usaha dilakukan dapat diteruskan.

Info:

Pertiwi Soup Kitchen

  • Diasaskan pada tahun 2010.
  • Pertubuhan sukarela yang berorentasikan projek
  • Sukarelawan terdiri daripada pelbagai pihak dan peringkat usia

Berita Harian X