X
Rabu, 20 Julai 2016 | 6:53am

Malam Puisi PENA erat ukhuwah

ABANG Sallehudin (tengah) beramah mesra dengan Mohd Khair (tiga dari kanan) dan Mohamad Saleeh ketika Malam Baca Puisi PENA di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Shiraz Ali
ABANG Sallehudin (tengah) beramah mesra dengan Mohd Khair (tiga dari kanan) dan Mohamad Saleeh ketika Malam Baca Puisi PENA di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Shiraz Ali

MALAM Baca Puisi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di Rumah PENA di sini, memang bermatlamat menyemarakkan apresiasi puisi dan sambutan hari raya, sebaliknya ternyata ia ruang terbaik mengeratkan ukhuwah bukan hanya dalam kalangan penulis, bahkan pemain utama industri penerbitan.

Kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehudin Abang Shoekran; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dan Pengurus Kanan (Dagang) Perbadanan Kota Buku, Razin Abdul Rahman menjadi bukti jelas kehangatan industri penerbitan amnya dan dunia sastera kebangsaan khususnya.

Malah Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad sebagai tuan rumah sangat mengalu-alukan kehadiran lebih 200 penulis dan peminat sastera dari pelbagai latar belakang.

Kelibat Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan yang menjadi antara pengunjung tetap acara yang turut dimeriahkan dengan kehadiran pengarang seperti Ahmad Sarju dan Sri Diah Sharuddin; pelakon serta penggiat teater, Khalid Salleh dan Sabri Yunus; penyair, Pyanhabib dan pemuzik Adinda Amiro.

Rentas pelbagai latar kehidupan

Malah kehadiran ahli akademik, seperti Dr Norhayati Ab Rahman; pengarang yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Ramzah Dambul dan penulis muda seperti Saharil Hasrin Sanin dan Wan Noor Azriq membuktikan sastera tanah air bukanlah elit atau berada dalam kelompok sendiri.

Sebaliknya kebanyakan penggiat sastera dan budaya hari ini merentas pelbagai latar akademik serta profesion yang berkongsi minat dan hasrat sama dalam menyumbang kepada perkembangan sastera kebangsaan.

Malah berita yang dikongsi oleh Mohd Khair mengenai program Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 (DiverseCity 2016) yang bakal berlangsung selama lima minggu bermula 31 Ogos di ibu kota, jelas membuktikannya sentiasa bernadi dalam seni.

Menggabungkan semua genre seni bawah satu bumbung, ITBM dengan kerjasama PENA dan DBP menjadi kurator untuk genre sastera yang antara lainnya akan mengendalikan Malam Baca Puisi pada 2 September, Forum Penyair ASEAN pada 3 September dan Jelajah Monodrama: Jual Ubat Dari Stesen Ke Stesen.

Sentiasa peka perkembangan semasa

Keterujaan berkumpul dan mengeratkan silaturahim bagaimanapun tidak menjadi penyebab untuk melupakan perkembangan semasa yang merencatkan kemanusiaan.

Seperti kata Mohamad Saleeh pada awal ucapannya, menyentuh kekejaman terhadap umat Islam di Myanmar yang mencabar hak asasi manusia.

Acara yang bermula jam 8 malam dan berakhir jam 12 tengah malam itu dipenuhi dengan puisi pelbagai tema serta syair dan nyanyian lagu puisi.

Antara puisi yang dideklamasikan ialah Seketul Batu karya Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1984, Abdul Latiff Mohidin yang dideklamasikan oleh Pyanhabib.

Berita Harian X