Selasa, 19 April 2016 | 6:01am
 BERUANG madu bebas bergerak dalam hutan berpagar di BSBCC. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BERUANG madu bebas bergerak dalam hutan berpagar di BSBCC. - Foto Poliana Ronnie Sidom
HEMPEDU beruang madu yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit secara tradisional.
HEMPEDU beruang madu yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit secara tradisional.

Organ beruang madu buruan pedagang haram

ORGAN dan beberapa bahagian terutama hempedu beruang madu atau nama saintifiknya Helarctos Malayanus menjadi bahan perdagangan haram kerana didakwa mampu menyembuhkan penyakit secara tradisional.

Ia bukan saja dijual secara sembunyi di pusat rawatan tradisional, malahan di sesetengah tempat termasuk Sarawak, daging haiwan itu juga dijual secara terbuka dalam pasar, manakala hempedunya dijual sebagai ubat.

Seluruh anggota dan organ beruang madu dikatakan mempunyai harga dalam pasaran disebabkan kepercayaan bahawa haiwan itu mampu mengubati penyakit.

Penduduk asli khususnya di Borneo secara tradisinya dikatakan percaya hempedu beruang madu yang keluar daripada pundi hempedu haiwan berkenaan yang merebak ke dalam badan mampu menyembuhkan kecederaan akibat terjatuh.

Sasaran penggemar makanan eksotik

Permintaan terhadap organ selain daging oleh penggemar makanan eksotik menyebabkannya diburu secara haram, sekali gus meningkatkan kepupusan haiwan berkenaan.

Dianggarkan, 30 peratus populasi beruang madu berkurangan sejak tiga dekad lalu dan diklasifikasikan sebagai terancam dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).    

Beruang madu cuma boleh ditemui di beberapa tempat di Asia, Sumatera di Indonesia dan Borneo dengan di Sabah, spesies beruang terkecil di dunia itu mendiami kawasan hutan tanah rendah di Lembangan Maliau, Lembah Danum dan Hutan Kanyon Imbak, namun kepadatannya adalah rendah.

Di Sabah, beruang madu dilindungi sepenuhnya menerusi Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Satu-satunya pusat pemeliharaan tunggal bagi haiwan berkenaan di dunia adalah Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) terletak di Hutan Simpan Kabili-Sepilok yang dibina sejak 2008 dengan keluasan 2.5 hektar.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Wong Siew Te, berkata sejak ditubuhkan, sebanyak 48 beruang madu diselamatkan daripada penduduk kampung yang menjadikan mamalia itu sebagai haiwan peliharaan, ditempatkan di mini zoo selain daripada perdagangan haram.

Katanya, ancaman paling besar ke atas kepupusan beruang madu adalah keluasan hutan yang semakin mengecil selain pemburuan haram yang menambahkan tekanan terhadap haiwan berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup serta sikap masyarakat yang menyimpan beruang madu sebagai haiwan peliharaan.

Pemburuan berkurangan

"Biarpun di Sabah aktiviti pemburuan terhadap beruang madu berkurangan sejak kebelakangan, namun kita percaya perdagangan haram masih berlaku.

"Di negara seperti Kemboja dan Vietnam, perdagangan beruang madu adalah perkara biasa, namun ia masih haram kerana spesies ini dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang di seluruh Asia Tenggara," katanya.

Mengenai langkah perlu diambil bagi menangani ancaman ke atas beruang madu, Siew Te berkata, usaha perlu diambil bagi meningkatkan keluasan hutan hujan tropika di negara ini yang menjadi habitat bagi haiwan termasuk beruang madu dengan mengelak penebangan pokok untuk pembalakan.

Tingkat kerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Katanya, BSBCC juga turut bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menangani aktiviti pemburuan haram menerusi pendidikan mengenai alam semula jadi serta persekitaran dengan sasaran golongan pelajar dan penduduk kampung.

"Selain itu, kita juga meningkatkan usaha bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengelak memelihara beruang madu kerana ia aktiviti haram dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap kepentingan haiwan itu serta peraturan undang-undang," katanya.

Berita Harian X