Isnin, 4 April 2016 | 6:39am

'Saya tidak buat kempen jatuhkan Perdana Menteri'

SAYA sudah tua untuk jadi PM. Saya pernah berpeluang dulu. Saya paling kanan dalam parti, tetapi saya beri laluan kepada beliau (Dr Mahathir). Saya gembira dengan keadaan sekarang walaupun tiada isteri di sisi. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SAYA sudah tua untuk jadi PM. Saya pernah berpeluang dulu. Saya paling kanan dalam parti, tetapi saya beri laluan kepada beliau (Dr Mahathir). Saya gembira dengan keadaan sekarang walaupun tiada isteri di sisi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KETIKA pelbagai percubaan menjatuhkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak gagal, ramai pihak menuding jari kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai pengkhianat dan punca kegagalan kerana kerap tidak sependapat dalam kebanyakan isu.

Benarkah Ku Li bersubahat bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau beliau ada perancangan tersendiri untuk menjadi PM? Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan beliau untuk merungkaikan segala isu berkaitan dan kenapa pendiriannya kerap berubah.

S: Apabila menandatangani Deklarasi Kelantan, Tun Dr Mahathir Mohamad melabel Tengku sebagai pengkhianat kepada gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Apa komen Tengku?

Ku Li: Saya tandatangannya kerana saya tidak berada dalam mana-mana kumpulan lain. Saya dari UMNO. Itu yang saya hendak jelaskan. Mengapa semua orang hendak tuduh saya pengkhianat. Saya hadir sidang media Dr Mahathir kerana saya tidak setuju dengan penahanan Datuk Khairuddin (Abu Hassan) dan Mathias Chang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. Yang lain saya tidak beri sokongan.

S: Mengapa Tengku tandatangan deklarasi itu?

Ku Li: Mengapa pula saya tidak boleh tandatangan? Saya boleh tandatangan. Ia hanya dokumen biasa. Saya tidak fikir dokumen itu mempunyai kesan perundangan. Apabila saya ditunjukkan buku deklarasi itu, ia seperti buku kedatangan, maka saya tandatangan. Saya tidak tandatangan Deklarasi Rakyat tajaan Dr Mahathir. Mengapa? Sebab saya ahli UMNO. Saya berhak tandatangan apa saja dokumen. Saya Ketua Bahagian dan pemimpin. Ini demokrasi.

S: Adakah Tengku menyokong gerakan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib?

Ku Li: Saya tidak menyokong kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan dan sistem demokrasi negara. Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut Perlembagaan negara. Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini, akhirnya ke mana kita pergi. Beliau (Dr Mahathir) kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib.

S: Dr Mahathir mendakwa tindakan Tengku tandatangan deklarasi itu sebagai menipu beliau. Apa komen?

Ku Li: Kena tanya dia. Saya juga banyak kali kena tipu dengan dia.

S: Benarkah Tengku mengedar akuan bersumpah agar menyokong Tengku menjadi PM seperti disebarkan media sosial?

Ku Li: Tidak. Saya lihat di Facebook melalui telefon saya. Ia tidak berapa jelas seperti surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang meletak nama saya sebagai contoh untuk menjadi Perdana Menteri. Saya tidak tahu siapa yang buat. Kita tidak boleh pilih sesiapa menjadi Perdana Menteri melainkan dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. Yang penting orang itu mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

S: Adakah Tengku masih bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri?

Ku Li: Tidak. Saya sudah terlalu lama dalam UMNO dan tua untuk menjadi Perdana Menteri. Saya bertanding pilihan raya lalu bukan untuk mengejar jawatan Perdana Menteri. Saya pernah berpeluang dulu. Saya paling kanan dalam parti, tetapi saya beri laluan kepada beliau (Dr Mahathir). Saya gembira dengan keadaan sekarang walaupun tiada isteri di sisi.

S: Jika tiada hasrat menjadi PM, bila Tengku akan bersara daripada politik?

Ku Li: Ketika PRU-13 (2013), saya sudah umumkan tidak mahu bertanding. Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) datang jumpa minta saya kekal bertanding di Gua Musang. Saya sendiri cakap kepada PM, itulah penggal terakhir saya... jika bertanding lagi, umur sudah 81 tahun. Saya sudah sertai politik sejak berusia 24 tahun sehingga sekarang..... (tetapi) selagi saya diperlukan, saya akan bantu setakat termampu.

S: Apakah benar Tengku merancang usaha menggulingkan PM?

Ku Li: Tidak. Isu ini timbul apabila beberapa pemimpin pembangkang datang menemui saya bagaimana hendak atasi masalah ini. Saya jelaskan, ia perlu dilakukan mengikut Perlembagaan. Pertama menerusi pilihan raya. Kedua menerusi usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri di Parlimen. Ia perlu mendapat sokongan Ahli Parlimen dan Speaker membenarkan usul itu dikemukakan. Kalau dapat sokongan, maka jatuhlah kerajaan atau pemimpin. Ketiga, tidak terkandung dalam Perlembagaan tetapi boleh berlaku seperti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam krisis Menteri Besar Perak dan baru-baru ini bagaimana Menteri Besar Kedah ditukar. Jika Menteri Besar boleh ditukar dengan cara itu, Perdana Menteri juga boleh ditukar dengan cara sama. Akan tetapi saya tidak buat kempen untuk jatuhkan Perdana Menteri.

S: Adakah wajar tindakan segelintir pemimpin UMNO bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Najib?

Ku Li: Saya tidak tahu. Saya dulu pernah berjumpa pemimpin pembangkang. Masa hendak tubuhkan Barisan Nasional (BN) dulu, saya kejar Datuk Mohd Asri Muda (Presiden PAS) dan (Tun Dr Lim) Chong Eu (Presiden GERAKAN). Mereka semua pemimpin pembangkang. Lepas itu kita tubuhkan BN. Kemudian BN berpecah apabila PAS keluar BN. Kemudian, masa saya tubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46), kita tubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Parti saya bekerjasama dengan DAP dalam Gagasan Rakyat. Kita ceramah seluruh negara. Masa itu, UMNO Baru tidak terima kita. Bukan saya seorang, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussien Onn dan ramai lagi tidak diterima masuk. Tun Musa Hitam juga tidak dibenarkan masuk. Mungkin kerana kita banyak 'dosa'.

S: Tun Mahathir melabel orang UMNO hari ini buta kerana sokongan membuta tuli kepada pucuk kepemimpinan.?

Ku Li: Dulu macam itu juga. Zaman dia pun sama. Saya tidak ada ruang langsung dulu.

S: Sebagai orang lama dalam politik, Tengku mungkin ada pesanan peribadi kepada semua pihak bertelagah?

Ku Li: Kena ada semangat permuafakatan. Kita boleh buang atau gantung sesiapa saja yang bersalah atau melanggar etika parti tetapi apa kesannya selepas itu?. Perlu diingat, individu yang dianggap sebagai pemimpin sebenarnya sudah ada pengikut sendiri dan pengaruh. Mereka ada pengalaman. Memang mereka boleh dihukum tetapi persoalannya, adakah mereka saja yang bersalah, adakah kita sendiri tidak melakukan kesilapan? Kita kena ambil kira semua itu jika mahu hidup sebagai satu keluarga. Masing-masing kena muhasabah diri.

S: Masalahnya, UMNO sendiri dilihat kerap berbeza pendapat hingga membawa kepada perpecahan.

Ku Li: Itulah yang saya bayangkan kerana kita tiada permuafakatan. Masing-masing nak bentuk kem masing-masing. Oleh itu, kita tidak lagi menumpukan apa yang diperjuangkan selama ini. Ini banyak terikat dengan kepentingan kumpulan berbeza dengan kepentingan parti. Itu menyebabkan pengikut keliru.

S: Adakah UMNO kini berada di persimpangan atau bagaimana nasib selepas ini?

Ku Li: Saya rasa, jika tersilap langkah, kita akan kalah dalam PRU-14 akan datang. Sebab di mana-mana pun, mungkin saya silap tetapi secara umumnya di semua kawasan, pengundi bukan Melayu tidak menyebelahi BN. Ini sudah dibuktikan pada PRU-13. Kita cuma dapat undi popular kurang 47 peratus. Masalahnya, kita berpecah dan pengundi Melayu juga berpecah, begitu juga kepada orang yang tidak berparti yang cuma menunggu hingga ke saat akhir membuat keputusan. Mereka inilah yang akan menentukan masa depan kita. Jika UMNO masih tidak perbaiki kepemimpinan dan karektor, memang kita masih boleh menang tetapi majoritinya kecil. Kita tak boleh harapkan MCA, MIC atau parti di Sabah atau Sarawak.

S: Maknanya, jika masih kekal dalam keadaan begitu, memang sukar BN nak dapatkan 2/3 majoriti?

Ku Li: Jangan harap. Pengundi Cina 95 peratus menolak BN kerana tidak sukakan UMNO. Mereka tak suka MCA menjadi komponen BN, menjadi pak turut dalam BN, mereka mahukan hak sama rata. Itu tanggapan mereka.

S: Adakah ini didorong oleh persepsi?

Ku Li: Mereka terguris hati sebab terlalu banyak yang perlu dibayar. Mereka cuma fokus kepada perniagaan, tetapi berapa banyak yang mereka labur untuk hidup dalam perniagaan.

S: UMNO sudah melakukan pelbagai transformasi politik. Adakah Tengku merasakan ia berjaya?

Ku Li: Pada pendapat saya, apa yang kita nampak, orang muda tidak berminat untuk mendekati kita. Jadi, tumpuan kita seharusnya kepada orang muda, merekalah generasi masa depan. Segala program mestilah mendekati kita. Jika kita tak ambil kesempatan menjaga mereka, orang muda akan mendekati PAS, PKR. Jika ada yang bagus dan berpotensi, akan ada yang dibuang sedangkan ini soal demokrasi.

S: Ketika ini, ramai pemimpin muda Melayu memilih platform DAP dan PKR berbanding UMNO. Kenapa?

Ku Li: Sebab tadilah. Pintu tertutup, nak masuk UMNO begitu susah. Berdasarkan laporan, jika mereka diterima pun, cukup susah nak dapatkan jawatan, kena banyak belanja besar sedangkan mereka ini nak sertai UMNO untuk berkhidmat tetapi kita diajar dengan amalan tidak baik semata-mata nak dapatkan jawatan. Jika dapat jawatan, kena amalkan etika tidak baik itu sepanjang hayat. Jadi, budaya UMNO itu sendiri sudah rosak. Tidak lagi berkorban untuk bangsa dan negara.

S: Bukankah ia masih perlu diperbaiki lagi?

Ku Li: Saya tidak pasti. Jika amalan politik wang diteruskan, ia memang susah. Tetapi bukan semuanya mesti guna wang. Mungkin parti lain pun ada, tetapi bagi saya ia tidak seperti UMNO. Kita bimbang Melayu jadi lemah. Jika pemimpin naik disebabkan politik wang, mereka tidak ada kualiti sebagai pemimpin.

S: Selepas 40 tahun lebih berkhidmat di bawah beberapa PM, apa penilaian Tengku ke atas mereka?

Ku Li: Mereka semua berbeza, masalah pun berbeza. Tunku (Abdul Rahman) ada visi jelas apa yang dimahukan, Tun Razak nak tengok orang Melayu maju dan tidak ketinggalan. Mesti diberi pelajaran, mudah nak dapatkan kerja dan sebagainya. Tun Razak buka tanah rancangan baharu, buka FELDA dan kemudahan. Beliau minta saya cari dan latih beberapa orang berniaga. Kami pergi ke London, lihat cara mereka dan beliau yakin orang kita pun boleh buat. Saya katakan mereka tak tahu berniaga tapi Tunku kata, tak apa, ajar mereka. Kita nak wujudkan golongan berniaga. Sebab itu saya tubuhkan Pernas Edar, semua nak bantu Melayu. Begitu juga dengan bengkel kemahiran latihan di Dusun Tua, Hulu Langat. Tun Hussein agak 'perlahan' tetapi sangat berprinsip orangnya. Tak tahu membezakan apa prinsip, apa itu politik. Kes Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor), katanya beliau bersalah dan harus dibuang. Beliau sangat bencikan rasuah. Pandangannya sama seperti kuda lumba, sangat lurus dan jelas. Tun Mahathir agak kelam kabut sikit, terlalu banyak fokus kepada bidang elektronik, obses kepada pembinaan bangunan tinggi, meninggalkan terus Melayu. Kalau tak silap saya, hanya sekali beliau jejak kaki ke FELDA. Lebih suka tengok bandar-bandar besar sedangkan Melayu tak mampu, jangan kata nak beli rumah teres, rumah pangsa pun tak mampu. Banyak rumah setinggan dipagar sebab tak nak tonjolkan Melayu ini tinggal di setinggan bandar. Saya bukan nak burukkan Tun Mahathir, tetapi itulah hakikatnya. Lihatlah contoh di Kampung Abdullah Hukum, Kerinchi, Sungai Besi mana ada lagi orang Melayu. Orang PAS pernah cakap kepada saya, memang bagus buat pembangunan besar-besaran tetapi apa faedahnya kepada orang Islam. Bangsa lain semua kaya-raya sebab UMNO yang dapat sedikit habuan.

S: Jika politik gawat dan UMNO berpecah, masihkah ada peluang BN menawan Kelantan?

Ku Li: Di kawasan hitam, memang kita tak boleh menang. UMNO pula, apabila nampak kecerahan atau ada harapan untuk menang, akan timbul masalah berbalah sesama sendiri. Tiada lagi budaya nak tolong menolong, semua nak jaga diri dan kumpulan masing-masing. Ini berlaku di semua peringkat hinggalah kepada cawangan.

S: Mungkin masih ada alternatif lain nak bantu pulihkan keadaan ini?

Ku Li: Persoalannya sekarang, selepas Najib turun, siapakah yang bakal jadi pengganti untuk pimpin parti dalam keadaan UMNO berselerak?. Kalau tak buat betul-betul, kita hancur. Saya sendiri tak nampak siapa bakal pelapis kumpulan baharu ini. Lihatlah di Selangor, langsung tiada pemimpin berwibawa yang boleh satukan UMNO. Setakat ini kita tak nampak calon pemimpin masa depan, sama di peringkat negeri.

S: Apa pendapat Tengku berhubung sikap berbaik PAS dengan UMNO pada masa ini?

Ku Li: Ia nampak baik di peringkat atas. Saya bercakap dengan Najib selepas tandatangan deklarasi tempoh hari. Saya kata orang bawah tidak terima. Jangan kata orang UMNO tidak terima, orang PAS pun tidak terima. Ini soal pengaruh. Kalau cerita pengaruh, bila tiba masa pilihan raya, pasti hendak kerusi pula. Maka, bercakaran sesama sendiri. Itu satu hal. Kalau PAS dengan perjuangan itu bekerjasama dengan UMNO, kemungkinan besar akan timbul masalah di Sabah dan Sarawak.

S: Adakah BN masih dapat mengawal senario politik yang berlaku sekarang?

Ku Li: Saya rasa BN di bawah pentadbiran sekarang masih dapat kuasai keadaan disebabkan parti-parti pembangkang nampak susah nak bersatu, apatah lagi membabitkan parti baharu yang wujud, tiada tapak yang kukuh. Contohnya PAS yang sudah lama bertapak di Kelantan, Kedah, Terengganu dan sebahagian negeri lain nampak hilang hala tuju. Itu pandangan orang PAS sendiri yang mengatakan wujud perkelahian antara presiden, timbalan, atau naib. Saya selalu jumpa mereka. Disebabkan itu, ini menimbulkan masalah kepada politik negara. Walaupun mereka pembangkang, tetapi mereka juga ada suara yang mewakili golongan agak kuat. Tak boleh pisahkan dengan rakyat. Mereka tetap ada peranan.

S: PAS goyang selepas muktamar, adakah disebabkan pemimpin utama keluar parti atau faktor lain?

Ku Li: Barangkali mereka ini tidak sesuai dengan gaya kepemimpinan sedia ada, corak pimpinan serta apa yang diperjuangkan walaupun ia disokong golongan ulama di dalam PAS tetapi nampaknya kumpulan liberal atau moden seperti Muhamad Sabu, Salahuddin Ayub dan lain-lain tidak begitu setuju dengan presiden.

S: Maknanya, PAS juga semakin lemah dan berpecah?

Ku Li: PAS tidak akan berpecah lebih daripada apa yang sudah berlaku kerana mereka kekal dengan perjuangan asal. Jika nak harapkan ahli PAS menyokong UMNO, itu tidak akan berlaku tetapi mungkin ada orang UMNO yang akan sokong parti Amanah, tidak terlalu Islamik sangat. Jika orang UMNO melihat apa yang berlaku sekarang, mungkin perkara itu akan berlaku. Tetapi mereka tidak akan masuk sebagai ahli PAS.

S: Bagaimana dengan kerjasama blok ketiga anjuran PAS?

Ku Li: PAS memang ada pengaruh tetapi biasanya parti perikatan seperti ini, rakyat tak begitu bagi perhatian. Walaupun ada pengaruh tetapi tapaknya lemah. Contohnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang begitu bergantung kepada DAP, apatah lagi parti Ikatan. Apa yang mereka boleh bantu PAS, tak akan setakat kerjasama saja melainkan mereka mensyaratkan sesuatu kepada PAS. Tidak banyak faedah atau kebaikan kepada PAS.

S: Pandangan Tengku dengan pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Penasihat PETRONAS?

Ku Li: Baguslah kalau hendak bekas Perdana Menteri menjadi penasihat. Itulah orangnya kerana Dr Mahathir sudah tamat perkhidmatan. Sebenarnya dalam Akta Kemajuan Petroleum, ada peruntukan undang-undang mewajibkan kerajaan membentuk Majlis Penasihat Petroleum yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan yang pakar dalam soal minyak dan wakil dari negeri mengeluarkan minyak. Itu asasnya. Bukan hendak lantik orang perseorangan, tetapi menasihat kerajaan dalam soal minyak. Tapi minyak sudah hendak habis, duit sudah dibelanja sehabis-habisnya, saya tidak tahulah apa nasibnya.

S: Apa jangkaan Tengku dalam pilihan raya Sarawak?

Ku Li: Kita susah hendak kempen di Sarawak. Kawasan luas, jalan pun susah. Tapi kesimpulannya saya boleh kata BN akan menang.

Berita Harian X