X
Isnin, 21 March 2016 | 6:58am

Nyamuk aedes tak kebal, wujudkan komuniti bebas denggi

SOALAN: Kes denggi di seluruh negara menunjukkan trend semakin hari semakin meningkat dan tidak menampakkan tanda ia menurun. Apa lagi  harus dilakukan untuk memerangi wabak ini?

Jawapan:  Faktor utama yang mempengaruhi peningkatan kes demam denggi adalah persekitaran yang tidak bersih, mobilisasi masyarakat, perubahan cuaca, perubahan serotaip virus denggi dan keupayaan nyamuk aedes menyebarkan virus serta membiak dengan pantas. Sikap masyarakat juga didapati turut menyumbang secara langsung terhadap penularan jangkitan denggi terutama membuang sampah merata-rata yang menjadi punca tempat pembiakan aedes.

 Memandangkan faktor penyumbang kepada peningkatan kes seperti mobilisasi masyarakat, perubahan cuaca, serotaip virus denggi dan tabiat nyamuk sukar untuk dikawal, maka kaedah memerangi wabak yang lebih berkesan dan kos efektif ialah memastikan persekitaran  bersih dan tiada pembiakan aedes. Ini dapat menghalang virus denggi disebarkan dari satu individu kepada individu lain. Perubahan sikap masyarakat adalah diperlukan supaya mementingkan kebersihan persekitaran, membuang sampah secara berhemah dan menjadikan  aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes  sebagai amalan setiap minggu. 

S: Pelbagai kaedah dan teknik digunakan Jabatan Kesihatan untuk memerangi aedes bagi membendung penularan denggi. Adakah kaedah digunakan selama ini relevan untuk memerangi aedes. Apakah kita memerlukan teknik baharu?

J:  Kaedah kawalan yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa ini masih relevan iaitu kawalan nyamuk menggunakan racun serangga, kawalan biologikal dan pengurusan persekitaran supaya bersih serta bebas daripada pembiakan nyamuk. KKM juga melaksanakan langkah kawalan nyamuk aedes yang baharu iaitu Outdoor Residual Spray (ORS) membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang dan Johor Bahru. Namun, langkah kawalan dan pencegahan yang terbaik adalah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Anggota masyarakat mesti memainkan peranan dengan membersihkan kawasan persekitaran luar dan dalam rumah setiap minggu supaya tempat pembiakan  aedes dihapuskan.

S: Teknik semburan kabus paling popular digunakan bagi memerangi aedes ketika ini. Akan tetapi ada dakwaan pihak tertentu mengatakan yang muncul spesies nyamuk aedes yang 'kebal' dengan semburan kabus ini. Apakah betul perkara ini?

J:  Masyarakat perlu tahu bahawa semburan kabus hanya membunuh nyamuk dewasa berhampiran semburan dilakukan. Oleh itu, selepas habis kesan semburan, telur nyamuk aedes yang menjadi pupa boleh menjadi nyamuk dewasa pada bila-bila masa, seterusnya boleh menyebarkan virus denggi. Selain itu, ketika semburan dilakukan, nyamuk boleh terbang jauh untuk mengelak daripada kesan semburan ini dan akan terus menyebarkan virus denggi di tempat lain.

 KKM sentiasa memantau kerintangan racun serangga yang digunakan di negara ini dan sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkan muncul spesies aedes kebal dengan racun serangga yang digunakan oleh KKM. Di samping itu, KKM mengamalkan konsep kepelbagaian dalam kaedah kawalan vektor dengan menggunakan integrated vector management sebagai satu daripada cara mengelak  masalah ini daripada berlaku.

S: Pelbagai usaha dijalankan bagi membendung  jangkitan ini. Satu daripada usaha terkini ialah dengan pelancaran kit antidenggi. Sejauh manakah ciptaan ini mampu mengekang penularan wabak denggi?

J:   Komuniti Bebas Denggi (KBD) dikendalikan oleh Inno Biologics Sdn Bhd, iaitu projek di bawah penyeliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI). Pihak KKM mengalu-alukan penyertaan pelbagai kementerian dan agensi dalam menggerakkan komuniti untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi. Pembabitan dan tindakan komuniti sangat penting bagi menentukan sustainability aktiviti membersihkan persekitaran dan aktiviti mencari serta menghapuskan tempat pembiakan aedes.

S: Penularan wabak denggi mendorong masyarakat mencuba pelbagai rawatan alternatif termasuk minum jus pucuk betik, minum air isotonik,  air kelapa muda dan makan sup ketam. Sejauh manakah keberkesanan rawatan alternatif ini?

J:  Daripada senarai yang diberikan, hanya jus daun betik sudah menjalani kajian. Belum ada kajian dijalankan ke atas air isotonik, sup ketam, air kelapa muda. Perlu difahami bahawa pengambilan jus daun betik bukan rawatan bagi demam denggi kerana ia hanya menaikkan bilangan platelet yang membantu mengurangkan komplikasi pendarahan. Oleh itu, sesiapa yang mengalami tanda demam denggi seperti demam, sakit sendi, ruam atau apa-apa pendarahan, pesakit ini perlu berjumpa doktor bagi menjalani ujian serta mendapatkan rawatan segera. 

S: Baru-baru ini, Mexico meluluskan vaksin denggi pertama di dunia, Dengvaxia. Apakah pendirian Malaysia berhubung vaksin ini?

J:  Negara seperti Mexico dan Filipina sudah menggunakan vaksin denggi. Syarikat yang mengeluarkan vaksin berkenaan juga  mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan vaksin denggi di Malaysia kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pada pertengahan 2015. Secara keseluruhan hasil kajian menunjukkan keberkesanan vaksin denggi adalah 65.6 peratus, manakala kesan perlindungan untuk setiap serotaip denggi adalah tidak sekata, iaitu dalam lingkungan 40 hingga 80 peratus.

Walaupun vaksin denggi ini menunjukkan keberkesanan yang tidak sekata, hasil kajian itu menunjukkan vaksin ini dapat mengurangkan  kes denggi yang serius 80 peratus dan mengurangkan kemasukan kes ke hospital sehingga 90 peratus. Pada masa ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah sedang mengkaji keberkesanan, keselamatan dan kualiti vaksin ini untuk pendaftaran. Pada masa sama, KKM juga meneliti keberkesanan kos sekiranya pelaksanaan vaksin denggi dilakukan di negara ini.

Berita Harian X