Khamis, 28 Januari 2016 | 6:48am

TPPA perluas pasaran, tingkatkan KDNK negara

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi penerangan mengenai TPPA kepada EXCO, ketua jabatan serta kakitangan kerajaan di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini. - Foto Rasul Azli Samad
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi penerangan mengenai TPPA kepada EXCO, ketua jabatan serta kakitangan kerajaan di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini. - Foto Rasul Azli Samad

PADA tahun 2005 satu perjanjian perdagangan dimeterai membabitkan New Zealand, Singapura, Brunei dan Chile, dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik (TPSEP). Semua negara terbabit mendapat manfaat daripada perjanjian itu.

Perjanjian perdagangan itu kemudiannya cuba diperluaskan kepada penyertaan lapan negara lagi membabitkan Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Jepun, Mexico, Peru, Vietnam dan Malaysia yang dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Pada 5 Oktober tahun lalu, semua 12 negara terbabit mencapai kata sepakat menyertai TPPA. Persetujuan itu dicapai selepas tujuh tahun rundingan diadakan. Mulai semalam, Parlimen Malaysia membentangkannya dan menjalankan proses pengundian sama ada menerima atau menolak TPPA.

Banyak kebimbangan dibangkitkan oleh mereka yang menentang TPPA. Dalam Sidang Kemuncak TPPA anjuran Bantah TPPA dan Kongres Rakyat di Shah Alam pada 9 Januari lalu, banyak isu dibangkitkan oleh ahli panel.

Antaranya seperti harga barangan dan harga ubat akan meningkat, usahawan Bumiputera akan terancam, kedaulatan negara akan tergadai, hab halal akan dikuasai syarikat asing sehinggalah dakwaan kerajaan negeri akan hilang kuasa untuk menetapkan syarat penukaran kegunaan tanah dan dakwaan TPPA akan mengatasi Perlembagaan Persekutuan.

Pada hemat penulis, asas penilaian kita mesti rasional dan adil. Kita mesti lihat kepada manfaatnya yang lebih besar daripada 'mengartikulasikan' isu yang tiada asas kebenarannya.

Jika diteliti tujuan dan maksud TPPA itu dilaksanakan, ia sebenarnya bertujuan mempromosi pertumbuhan ekonomi bagi negara anggota. TPPA mampu pacu ekonomi negara anggota pada tahap lebih baik, mencipta peluang pekerjaan serta memperkasa daya saing menerusi inovasi, kreativiti dan produktiviti.

Analisis kos dan manfaat menjadi asas penting kepada penilaian TPPA. Melihat kepada kebaikannya, TPPA akan beri limpahan positif kepada negara dan rakyat Malaysia jika perjanjian itu diterima Parlimen. Dari segi kos manfaat perjanjian TPPA, laporan mengenainya yang didedahkan kepada umum pada 3 Disember tahun lalu menunjukkan bahawa negara akan raih manfaat besar dengan menyertainya.

Akses pasaran lebih luas dapat dilakukan melalui pengurangan langkah bukan tarif, selain ia dapat mengurangkan halangan tarif untuk barangan dan perkhidmatan. Kelebihan ini sekali gus dapat mengurangkan harga produk, selain menikmati produk lebih berkualiti.

Tingkat KDNK RM891.37b

Negara juga mampu tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga RM891.37 bilion dalam tempoh 2018-2027. Sebaliknya, tanpa penyertaan kita dalam TPPA, KDNK negara akan merosot sehingga RM67.59 bilion.

Hakikatnya, TPPA menuntut peserta industri sentiasa berada pada keluk perubahan dengan meletakkan aspek inovasi sebagai teras operasional mereka supaya berdaya saing dalam pasaran global. Ini bermakna, hasil produktiviti domestik tidak lagi pada pasaran tempatan tetapi ia mampu diperluaskan ke pasaran negara anggota.

Melalui peningkatan produktiviti, perniagaan akan semakin meningkat, sekali gus syarikat akan mampu membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja tempatan.

Bank Dunia dalam laporan Global Economic Prospects January 2016 menyentuh potensi implikasi ekonomi makro TPP (muka surat 219-233) menyatakan bahawa Vietnam dan Malaysia adalah antara negara TPP yang bakal menikmati manfaat terbanyak dengan peningkatan KDNK masing-masing sebanyak 10 dan 8 peratus menjelang tahun 2030.

Kerajaan juga sudah meminta Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) melaksanakan Analisis Kepentingan Nasional dan PriceWaterhouse Coopers (PWC) pula diminta melaksanakan Kajian Kos dan Manfaat.

Manfaat ekonomi

Kesimpulan ISIS ialah penyertaan Malaysia dalam TPP adalah demi kepentingan negara. Manakala PWC pula membuat kesimpulan bahawa TPPA bakal memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dengan potensi peningkatan ekonomi atau KDNK antara AS$107-211 bilion (RM458-903.7 bilion) dalam jangka masa 2018-2027.

PWC dalam menilai impak menyertai TPPA terhadap sektor korporat mendapati bahawa sektor elektrik dan elektronik, tekstil, automotif, kayu-kayan, kelapa sawit, plastik, runcit dan pembinaan akan mengalami impak positif. Cuma minyak dan gas sahaja mengalami impak negatif.

Jelas sekali bahawa berdasarkan kajian yang dijalankan itu, penyertaan Malaysia dalam TPP lebih banyak mendatangkan manfaat.

TPPA akan meningkatkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI). Ini didorong oleh piawaian perdagangan yang menekankan tadbir urus telus dan prinsip kebertanggungjawaban melalui peraturan lebih ketat. Elemen ini menyukarkan mana-mana pihak melakukan amalan tidak baik seperti rasuah dan lain-lain bentuk penyelewengan.

TPPA berupaya mengekang gejala rasuah dan penyelewengan kerana ia menekankan tadbir urus yang efisien dan telus serta mengutamakan persekitaran kondusif, selain memperkasakan pasaran buruh. Melalui TPPA kuasa buruh akan jadi lebih tinggi dan mereka diberi hak untuk berpersatuan bagi menyuarakan perkara berkaitan hal kebajikan mereka.

Dakwaan menyatakan bahawa kerajaan akan menjual Malaysia melalui TPPA adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali. Tuduhan itu lebih bersifat 'mala fide' atau berniat jahat. Dalam teks terakhir rundingan TPPA ada disentuh perkara berkaitan hak Bumiputera dan kedaulatan Malaysia.

Perlu difahami bahawa sejak awal rundingan lagi kerajaan sudah memberi jaminan bahawa Malaysia hanya akan menyertai TPP atas terma yang boleh kita terima.

Berita Harian X