Isnin, 27 September 2021 | 9:47am
TNB menjalin kerjasama dengan DHL Express Malaysia (DHL) menerusi memorandum persefahaman (MoU), antara lain akan memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran yang lebih mesra alam. - FOTO TNB
TNB menjalin kerjasama dengan DHL Express Malaysia (DHL) menerusi memorandum persefahaman (MoU), antara lain akan memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran yang lebih mesra alam. - FOTO TNB

TNB komited pacu permintaan EV menerusi kerjasama dengan DHL

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited dan bersedia untuk memacu permintaan kenderaan elektrik (EV) serta meningkatkan pengadaptasian EV di Malaysia sekali gus menetapkan asas kepada penerimaan mobiliti rendah karbon dalam negara.

Bagi merealisasikan hasrat itu, TNB menjalinkan kerjasama dengan DHL Express Malaysia (DHL) dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang antara lain akan memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran yang lebih mesra alam dengan pengenalan EV dalam kumpulan kenderaan DHL.

Ia juga sekali gus menjadi satu lagi pencapaian baharu bagi DHL dalam komitmen logistik pelepasan sifarnya menjelang 2050.

Mengulas lanjut mengenainya Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata pengangkutan telah dikenal pasti sebagai sektor utama yang dapat disumbangkan oleh TNB dalam mendorong mobiliti rendah karbon di Malaysia menerusi kerjasama dengan rakan yang berobjektif sama dalam industri pengurusan 'fleet'.

Katanya, setelah beberapa bulan perbincangan diadakan untuk lebih memahami keperluan perniagaan DHL, satu MoU ditandatangani tiga bulan lalu pada 10 Jun 2021 untuk berkolaborasi dalam inisiatif hijau yang akan menyumbang ke arah mencapai matlamat Pelepasan Karbon Sifar Bersih mereka pada tahun 2050.

"Satu daripada inisiatif yang telah dikenalpasti ialah program perintis dengan DHL untuk menggerakkan EV komersil di Malaysia pada awal tahun 2022.

"TNB komited untuk membina perkongsian yang saling menguntungkan dengan DHL dan membantu mereka mencapai matlamat logistik EV mereka sementara TNB mengambil peranan kritikal dalam mewujudkan permintaan untuk penggunaan EV yang lebih tinggi di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat maya mengenai perkembangan terkini MoU di antara TNB dan DHL Malaysia, baru-baru ini. Taklimat itu turut disertai Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo.

Image

Mengulas lanjut Megat Jalaluddin berkata, oleh kerana TNB merancang untuk memasang lebih banyak stesen pengecasan EV untuk menampung peningkatan jumlah EV komersil di sepanjang laluan penghantaran DHL, pihaknya secara tidak langsung mewujudkan permintaan untuk EV dalam waktu terdekat.

Justeru itu katanya, TNB terbuka untuk mengadakan lebih banyak perkongsian dalam industri pengangkutan dan menyasarkan untuk mengembangkan model perniagaan yang saling menguntungkan untuk memasang, menyelenggara dan mengekalkan infrastruktur pengecasan EV di sepanjang laluan yang paling kerap digunakan oleh kenderaan penghantaran.

"Model perniagaan ini direka untuk mengukuhkan sokongan asas untuk meluaskan penggunaan EV di Malaysia kerana kami akan membantu mengurangkan sebarang kerisauan bagi pemilik kenderaan berpotensi yang ingin beralih ke EV dalam masa terdekat.

"Bagi TNB, kami bersedia untuk mewujudkan permintaan untuk EV atau meningkatkan penggunaan EV dalam negara dan menetapkan asas untuk penerimaan mobiliti karbon rendah di Malaysia.

"Kami terbuka untuk mengadakan lebih banyak perkongsian di pelbagai subsektor industri dan ingin mewujudkan lebih banyak zon EV yang akan memberikan penyelesaian yang lebih optimum untuk pelanggan kami dan juga TNB," katanya.

Jelasnya, bersama dengan sokongan kerajaan, hanya menunggu masa sebelum EV menjadi perkara biasa di negara ini, yang mana adalah menjadi objektif TNB.

"Ini adalah objektif perniagaan TNB untuk membantu negara berkaitan kemampanan dan kita secara dasarnya berada di landasan yang baik dalam mencapai matlamat ini.

"Dari satu segi yang lain, kami bersedia untuk menghidupkan agenda hijau Malaysia," katanya.

Image

Sementara itu Neo berkata, DHL bakal menjadi syarikat penyedia logistik pertama menggunakan EV sebagai kenderaan penghantaran di Malaysia apabila bakal menerima kehadiran tiga van elektrik pada separuh pertama tahun depan.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada langkah pihaknya untuk mencapai Misi 2050 iaitu membabitkan pencapaian pelepasan sifar-bersih menjelang 2050.

"Kami bertanggungjawab terhadap dunia yang kita diami ini. Di DHL, kami dapat menyumbang kepada usaha ini dengan memastikan penghantaran yang lebih mampan.

"Penggunaan van elektrik ini menandakan permulaan usaha kami untuk menjadikan penghantaran dan perjalanan jarak jauh lebih hijau. Kami akan terus menjadikan setiap dimensi perniagaan kami mampan, sekali gus memberikan kecemerlangan kepada pelanggan kami," katanya.

Beliau menambah, van EV itu akan menjadi perintis untuk digunakan di pusat servis Kuala Lumpur dengan TNB menerajui pemasangan stesen pengecasan di kedua-dua tapak pusat dan di sepanjang lokasi strategik laluan perkhidmatan kami.

"Apabila lebih banyak kenderaan EV ini diterima, kami akan memperluas penggunaannya ke kemudahan lain dalam rangkaian seluruh negara.

"Dengan penambahan ini, syarikat dalam landasan untuk memastikan 60 peratus daripada seluruh 'fleet' kami yang ketika ini berjumlah sekitar 350 adalah EV menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata, penggunaan EV juga membawa kepada penjimatan pada masa depan dari segi kos bahan api dan menjadikan mereka lebih hampir untuk memenuhi matlamat pelepasan karbon sifar-bersih kumpulan itu.

"Van EV memerlukan masa lebih kurang tujuh jam untuk dicas dan boleh dipandu sehingga 200 kilometer dengan sekali cas.

"Setelah digerakkan, van EV ini akan melakukan fungsi yang sama seperti van biasa iaitu untuk mengambil dan membuat penghantaran," katanya.

Mengulas mengenai MoU dengan TNB, Neo berkata ia melangkaui pelaksanaan van EV untuk merangkumi kerjasama dalam inisiatif pengurangan karbon dan pengurangan kos.

"Ia merangkumi peralatan cekap tenaga, sistem pengurusan tenaga bangunan dan panel solar di atas bumbung.

"DHL Express juga sedang menilai rangkaian bekalan elektrik TNB semasa dan mengenal pasti peluang untuk penambahbaikan." katanya.

Berita Harian X