Isnin, 30 Ogos 2021 | 12:30pm
Kanger Ventures Sdn Bhd (KVSB), membeli 126 unit pangsapuri khidmat di Antara @ Genting Highlands.
Kanger Ventures Sdn Bhd (KVSB), membeli 126 unit pangsapuri khidmat di Antara @ Genting Highlands.

Kanger labur RM142.9 juta

Pengarah Eksekutifnya, Steven Kuah Choon Ching, berkata pelaburan itu dibuat kerana pihaknya berasa optimis dengan prospek pelaburan hartanah di sana.

Katanya, selepas unit pangsapuri itu siap, segmen hartanah akan membawa masuk aliran pendapatan berulang menerusi pendapatan sewa.

"Selain itu, kami juga akan mendapat keuntungan daripada kenaikan nilainya apabila hartanah ini dijual, kerana kami berjaya membeli unit ini pada harga yang menarik," katanya kepada The New Straits Times, baru-baru ini.

Projek pembangunan Antara @ Genting Highlands dijangka siap pada 2024.

Mengulas lanjut, Choon Ching berkata, Genting Highlands adalah destinasi pelancongan yang menarik untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Kami yakin unit pangsapuri ini akan mendapat permintaan tinggi selepas sekatan perjalanan ditarik dan kegiatan pelancongan kembali normal," katanya.

Sekatan pergerakan di China dan Malaysia menjejaskan perniagaan buluh Kanger sedia ada kerana wabak COVID-19, yang mempengaruhi penjualan tahun lalu.

"Kami mengambil masa ini untuk meneroka dan mengenal pasti pelbagai peluang untuk mengembangkan portfolio pendapatan ke dalam bidang baharu yang menjadi pelengkap kepada kecekapan teras.

"Selain pelaburan hartanah, kami juga memutuskan untuk melakukan diversifikasi ke dalam perniagaan pembinaan," katanya.

Kanger kini sedang mengerjakan projek pembinaan dengan nilai kontrak dalam tangan kira-kira RM1.0 bilion dan sedang memohon lesen kontraktor Gred 7 dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), yang akan membolehkannya untuk melaksanakan apa sahaja projek pembinaan.

Untuk meningkatkan kelebihan daya saingnya dalam perniagaan pembinaan, Kanger membeli 51 peratus kepentingan dalam pembekal bahan binaan Sung Master Holdings Sdn Bhd (SMH) dengan RM94.8 juta.

SMH terbabit terutama dalam penjualan dan perdagangan bahan binaan, termasuk lantai kayu, jubin, simen pukal, kon- krit, loket serta barangan bilik air.

Pelanggannya terdiri daripada pemain hartanah dan pembinaan serta perunding kejuruteraan.

Berita Harian X