Selasa, 5 Januari 2021 | 5:35pm

Grab terajui pendigitalan bisnes tradisional

KUALA LUMPUR: Perniagaan digital yang suatu ketika dulu dilihat sukar dilaksanakan, kini menjadi kebergantungan utama peniaga untuk terus beroperasi.

Pandemik Covid-19 ternyata mengubah landskap jual beli secara keseluruhan apabila perniagaan tradisional terpaksa mengadaptasi pendigitalan demi kelangsungan perniagaan.

Memahami ramai peniaga kurang mengetahui konsep dan proses pendigitalan, Grab antara penggerak teknologi, melihat keperluan yang mendesak untuk menyesuaikan perniagaan dengan situasi semasa.

Turut terkesan dengan situasi semasa, Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, melumpuhkan khidmat penghantaran penumpang Grab apabila rakyat Malaysia diminta duduk di rumah bagi mengurangkan kadar jangkitan kes Covid-19.

Permintaan penghantaran penumpang yang berkurang secara mendadak, menjejaskan pendapatan lebih daripada 100 ribu rakan pemandu.

Sebaliknya, khidmat penghantaran makanan dan barangan mula mendapat sambutan tinggi menyebabkan permintaannya melebihi kapasiti rakan penghantar makanan sedia ada.

Peluang yang ada digunakan sebaiknya oleh Grab dengan melencongkan perkhidmatan menghantar penumpang kepada penghantar makanan dan barangan. Ini secara tidak langsung membantu mengekalkan sumber pendapatan rakan pemandu.

Grab turut memastikan penghantar makanannya mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) seperti penggunaan topeng muka, sanitasi dan penghantaran tanpa sentuh bagi membendung penyebaran virus.

Asimilasi digital dalam perniagaan

Turut terkesan dengan PKP yang dilaksanakan semestinya perniagaan tradisional yang kebanyakannya adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bergantung kepada aktiviti jual dan beli secara fizikal.

Sebagai penyedia platform digital, Grab melancarkan pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan PKS seperti 'Small Biz Relief Fund', 'Support Local Heroes' dan memperkenalkan Pasar di GrabMart.

Ini secara tidak langsung menggalakkan peniaga terjejas untuk menukar perkhidmatan perniagaan mereka secara dalam talian, sama ada untuk penghantaran di GrabFood, GrabMart. GrabExpress atau menggunakan dompet digital bagi urusan perniagaan atas talian menerusi GrabPay.

Dalam pada itu, Grab turut melancarkan FoodCourts di GrabFood, di mana lebih 1,000 gerai penjaja kecil di seluruh Malaysia dibawa ke platform GrabFood.

Inisiatif ini bertujuan membantu mempromosikan perniagaan PKS yang mempunyai sumber yang terhad secara dalam talian berbanding dengan perniagaan yang lebih besar.

Kerjasama dengan agensi kerajaan melonjakkan transaksi tanpa tunai 

Di samping itu, Grab bekerjasama dengan agensi kerajaan membantu menggerakkan ekonomi peniaga tradisional melalui platform Grab Ramadan E-Kitchen dan program rangsangan ekonomi seperti ePenjana dan Shop Malaysia Online (SMO)

Prakarsa ePenjana dan SMO turut berjaya mempercepat penggunaan transaksi tanpa tunai yang suatu ketika dulu dilihat agak sukar untuk dilaksanakan.

Menurut Ketua Komersial Grab Malaysia, JJ Tan,  platform itu mencatatkan peningkatan 60 peratus penggunaan pembayaran tanpa tunai.

"Peningkatan ini secara tidak langsung dapat membantu pengusaha mengurangkan interaksi secara fizikal semasa jual beli," katanya.

Grab beri sinar baru kepada peniaga tradisional

Rosiah Abi Asri (kiri) dan Rosaline Ong (kanan) ambil langkah berani melangkah ke dunia digital. FOTO Grab Malaysia

Bagi Rosaline Ong pemilik Lizar Chili, selama tiga dekad dia menjalankan perniagaan rempah  dan perapan siap dimasak di Pasar Besar TTDI. Namun, ketika PKP, sukar baginya meneruskan perniagaan seperti biasa kerana waktu perniagaan yang terhad.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk beralih menggunakan platform digital GrabMart, mengakui agak sukar menyesuaikan diri pada peringkat awal dia bersyukur kerana langkah yang diambilnya tepat dan dia juga dapat memperluaskan perniagaannya.

Rosiah Abi Asri, yang menjalankan perniagaan makanan pula, mengubah model perniagaannya apabila menjadi antara 133 vendor bazar Grab Ramadan E-Kitchen.

Grab menyokongnya melalui platform untuk memaparkan menu digital yang dapat dicapai oleh lebih ramai pengguna dan memastikan pelanggannya menerima makanan tepat pada waktu untuk berbuka puasa.

Kebanyakan pengusaha perniagaan tradisional bersetuju mendigitalkan perniagaan adalah cara terbaik untuk bertahan. Namun, pada masa sama, mereka tidak mengetahui cara bagaimana untuk mengembangkan perniagaan secara digital.

Oleh itu, Grab meneruskan komitmen mereka untuk terus membantu peniaga tradisional dan PKS menceburi dunia digital dengan menyediakan platform dan rangkaian holistik untuk memudahkan urusan perpindahan perniagaan dalam talian.

Platform digital mesra peniaga

Selain menjadi platform perniagaan digital, Grab sentiasa menambah baik perkhidmatan yang diberikan supaya mesra peniaga dan pada masa  sama, peniaga yang baru beralih ke dunia digital tidak berasa kekok mengadaptasi perubahan.

  • Platform layan diri

Melalui pembaharuan platform ini memberikan lebih banyak autonomi kepada peniaga menguruskan kedai digital termasuk mengemas kini menu dan menambah promosi terkini.

  • Portal sumber peniaga

Grab menyediakan blog perniagaan dan portal Grab Merchant Academy yangjuga merupakan platform perkongsian maklumat dan ilmu perniagaan digital.

  • Sesi komuniti peniaga 

Terdapat juga sesi webinar komuniti peniaga sebagai saluran untuk Grab berinteraksi bersama kalangan peniaga.

  • Carian perniagaan berhampiran (Merchant Nearby feature)

Bagi ciri ini, Grab akan menunjukkan perniagaan berhampiran anda yang menerima pembayaran secara GrabPay. Sejak ciri ini diperkenalkan, Grab membantu menyenaraikan banyak perniagaan sehingga mudah ditemui oleh pengguna.

  • Mesra peniaga pekak

Dalam usaha memberikan akses digital kepada lebih ramai peniaga, Grab tidak melupakan peniaga kurang upaya. Grab mengedarkan 'GrabForGood' iaitu kit pemulaan untuk peniaga yang pekak.

Peniaga dilengkapi dengan peranti berbentuk gelang yang bergetar untuk menunjukkan pesanan masuk berbanding peranti standard yang menggunakan nada dering.

Grab turut berterima kasih kepada peniaga tradisional atas kepercayaan yang diberikan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan menyatakan hasrat untuk terus terlibat dan bekerjasama dengan agensi seperti  MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation) dalam inisiatif #SayaDigital bagi terus berinovasi melalui teknologi seterusnya menyokong dan meningkatkan perniagaan secara dalam talian.

Berita Harian X