Khamis, 22 Jun 2017 | 10:48pm

Geran pembayaran ganti R&D DRB-Hicom diluluskan

KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd menerima surat daripada Kementerian Kewangan meluluskan geran pembayaran ganti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB).

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini, DRB-Hicom berkata ia mewakili kemuncak proses permohonan ekstensif sejak 19 Ogos 2011 apabila ia memohon pembayaran ganti perbelanjaan R&D bernilai kira-kira RM3.7 bilion.

"Pada waktu itu permohonan awal itu, PONSB dan syarikat induknya, Proton Holdings Bhd berada di bawah syarikat pegangan pelaburan berbeza dan bukan sebahagian daripada Kumpulan DRB-Hicom," katanya.

Kumpulan itu berkata, nilai geran pembayaran ganti ialah RM1.1 bilion dan akan dibayar dalam satu pembayaran secara langsung kepada PONSB, anak syarikat milik penuh Proton.

Ia berkata, geran itu akan diagih sejurus perjanjian muktamad berhubung kemasukan rakan strategik asing yang dicadangkan ke dalam Proton yang diumumkan DRB-Hicom 24 Mei lalu. - BERNAMA

Berita Harian X