Khamis, 22 Jun 2017 | 1:25pm

Sedia dana syarikat pemula niaga teknologi - Mustapa

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Surianie Mohd Hanif
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemodal teroka swasta memperuntukkan lebih banyak dana untuk syarikat pemula niaga (start-up) teknologi tempatan, selain untuk syarikat teknologi yang pesat berkembang (scale-up).

Beliau berkata Malaysia mempunyai banyak syarikat start-up dan scale-up yang inovatif dan sangat memerlukan dana, namun akibat kurangnya aktiviti promosi dan pemasaran, ia membendung potensi pertumbuhan mereka.

"Kita mempunyai permata yang belum digilap. Oleh itu, mereka perlu dipadankan dengan pemodal teroka supaya sentiasa mempunyai peluang (untuk dana).

"Apa yang perlu kita lakukan ialah mengumpul pemodal teroka dengan mereka yang memerlukan (wang)," katanya kepada pemberita di luar Sesi Pitch Untuk Teknologi Start-up dan Scale-up di sini, hari ini.

Mustapa berharap platform pitching akan menggalakkan lebih banyak GLC dan pemodal teroka untuk mengambil bahagian dalam persekitaran yang kini dikuasai entiti kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd dan lain-lain.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak dana negara, ada yang ditegah daripada melabur dalam start-up dan scale-up seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Kita mahu menggalakkan ekonomi digital dan e-dagang, (oleh itu) kita perlu mengubah keseimbangan (antara dana kerajaan dan dana swasta) yang kini pada nisbah 70:30 (dana kerajaan: dana swasta)," katanya.

Pada masa ini, terdapat lebih 400 start-up dan scale-up yang kebanyakannya dikumpulkan dalam komponen ekonomi Digital. - BERNAMA

Berita Harian X