Selasa, 20 Jun 2017 | 8:43pm

Syarikat global tinjau bentuk konsortium AssetCo projek HSR

KETUA Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. - Foto Yazit Razali
KETUA Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMUR: Pelbagai syarikat dalam industri berkaitan rel dari seluruh dunia mendaftar untuk menyertai Taklimat Industri oleh MyHSR Corporation (MyHSR) dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura pada 5 Julai ini bagi membida menjadi syarikat pemilik aset (AssetCo) projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

AssetCo projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan bertanggungjawab mereka bentuk, membina, membiayai dan menyelenggara tren serta semua aset rel termasuk trek, kuasa, isyarat dan telekomunikasi.

Selain menyewakan tren kepada syarikat operasi (OpCos), AssetCo juga akan menyusun kapasiti rangkaian sistem bagi operasi dan keperluan penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata semua syarikat terbabit berpotensi bertemu antara satu sama lain pada taklimat berkenaan dan kemudiannya membentuk konsortium AssetCo.

Katanya, kira-kira 10 konsortium yang mengandungi pelbagai syarikat (dalam bidang kemahiran masing-masing) mungkin akan dibentuk selepas itu.

"Konsortium boleh juga dibentuk daripada kumpulan syarikat Jepun, Korea, China dan Eropah, selain peserta bebas industri," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

MyHSR bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah syarikat yang sudah mendaftar untuk menyertai Taklimat Industri itu, setakat ini.

Bagaimanapun, ia mendapat maklum balas positif daripada syarikat serantau dan global dalam industri untuk menyertai berkenaan yang akan diadakan di Singapura.

Taklimat Industri itu akan menyediakan perkembangan terkini parameter tender dan spesifikasi teknikal di dalam AssetCo bagi projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Pek Taklimat yang mengandungi keperluan tender AssetCo akan disediakan kepada semua syarikat berdaftar. Ia akan merangkumi topik tertentu dalam bidang perkhidmatan rel.

Mengulas lanjut, Nur Ismal berkata, penubuhan AssetCo penting kerana projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan mendapat perkhidmatan terbaik daripada syarikat dalam bidang kepakaran tertentu.

"Ia membolehkan kami mendapat hanya yang terbaik bagi projek ini," katanya.

Mengenai penyertaan syarikat tempatan, Nur Ismal berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan mengenai perkara itu buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, memandangkan lebih banyak kandungan tempatan diperlukan bagi projek itu kelak, penyertaan syarikat tempatan adalah lebih baik bagi konsortium terbabit serta MyHSR sendiri.

Selepas Taklimat Industri, MyHSR dan LTA akan bertemu setiap syarikat bagi mendapatkan maklum balas dan berkongsi pandangan mengenai pembangunan projek.

Tender kemudian akan dilancarkan oleh MyHSR dan LTA pada suku keempat ini.

INFO

*Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura terdiri daripada 8 stesen

*7 stesen terletak di Malaysia bermula di Bandar Malaysia dan sebuah stesen di Jurong East, Singapura

Berita Harian X