Ahad, 18 Jun 2017 | 8:22pm
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (lima dari kiri) melihat model pembangunan Terminal Larkin Sentral ketika majlis pelancaran Waqaf Saham Larkin Sentral dan Santapan Berbuka Puasa Johor Corporation di Persada Johor, Johor Bahru. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

JCorp lancar Waqaf Saham Larkin Sentral

Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (kanan) ketika majlis pelancaran Waqaf Saham Larkin Sentral dan Santapan Berbuka Puasa Johor Corporation di Persada Johor, Johor Bahru. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp) menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur), melancarkan Waqaf Saham Larkin Sentral iaitu wakaf saham tawaran awam yang pertama di dunia.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi mengumpul dana untuk menampung perbelanjaan dan membiayai pembangunan menaik taraf serta membaik pulih Bangunan Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin Sentral, yang membabitkan kos RM85 juta dengan dijangka siap pada 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia akan membabitkan penawaran saham oleh Larkin Sentral Property Berhad kepada institusi dan orang awam yang mana mereka kemudian mewakafkan kepada Waqaf An-Nur melalui saranan Islam mengenai wakaf.

Beliau yang juga Pengerusi JCorp, berkata menerusi saham itu, sebanyak RM85 juta tawaran saham baharu akan diperkenalkan membabitkan saham berjumlah 850 juta unit yang ditawarkan pada harga RM0.10 seunit.

"Untuk mencapai sasaran ini, saham wakaf ini akan dibuka kepada semua lapisan masyarakat, sama ada institusi dan orang awam dengan kadar minimum sebanyak RM100.

"Bagi individu yang mewakafkan saham ini, mereka akan mendapat insentif potongan cukai pendapatan sehingga tujuh peratus, manakala pewakaf institusi akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Prospektus Waqaf Saham Larkin Sentral dan Santapan Berbuka Puasa JCorp di Persada Johor, di sini hari ini. Pelancarannya disempurnakan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim sebagai wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Hadir sama, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli; Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Menjelaskan mengenai wakaf saham itu, Mohamed Khaled berkata, ia merangkumi kos pembelian tanah, pembinaan ruang letak kereta bertingkat dan lot perniagaan yang akan disewakan kepada ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan untuk berniaga dengan kadar sewa berpatutan.

Katanya, wakaf saham itu didaftarkan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan segala proses penawaran, pengurusan serta pelaporan dana wakaf itu akan dibuat dengan lebih tersusun, profesional dan telus.

Berita Harian X