Ahad, 18 Jun 2017 | 1:19pm

NCER Kedah bakal sedia lebih 37,000 peluang kerja

JITRA: Rangka tindakan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2016 -2025 dijangka menyediakan lebih 37,000 peluang pekerjaan apabila dua nod pertumbuhan di Kedah siap kelak.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq, berkata dua projek bagi nod pertumbuhan yang dikenal pasti di Kedah di bawah rangka itu ialah Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) serta Bandar Getah Kedah (KRC).

Beliau berkata, bagi pembangunan KSTP, ia dirancang mengikut dua komponen iaitu Pusat Penyelidikan Global dan Taman Perindustrian Moden.

"Fasa 1A KSTP sudah pun berjalan dan akan memasuki fasa 1B dalam masa terdekat. Apabila ia siap, KSTP ini dijangka membuka 23,444 peluang pekerjaan dengan impak lonjakan ekonomi hingga RM72.7 bilion menjelang 2030 nanti," katanya selepas program Kembara Kasih Ramadan 2017 di sini.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad (kiri) bersama Redza (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Bentan Din, 48, (kanan) pada Program Kembara Kasih Ramadan 2017 di Pulau Betong, Balik Pulau. - Foto Zulaikha Zainuzman
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad (kiri) bersama Redza (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Bentan Din, 48, (kanan) pada Program Kembara Kasih Ramadan 2017 di Pulau Betong, Balik Pulau. - Foto Zulaikha Zainuzman

Beliau berkata, sebanyak 14,471 peluang pekerjaan di samping pembangunan infrastruktur awam bakal dinikmati penduduk Kedah apabila KRC siap kelak.

"Pelaksanaan KRC masih di peringkat pemilikan tanah namun, apabila ia dilaksanakan, sebanyak RM14.7 bilion akan dijana menerusi produk getah serta teknologi hijau yang dihasilkan," katanya.

Redza berkata, sepanjang 10 tahun itu, sebanyak 80 projek berimpak tinggi bakal dilaksanakan di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

"Menjelang 2025, dengan pelaburan kumulatif RM146.5 bilion, kita percaya projek ini akan mengubah landskap ekonomi penduduk terutama membabitkan teknologi, penyelidikan dan inovasi," katanya.

Pada majlis itu, 52 orang penduduk setempat menerima sumbangan barang keperluan harian.

Redza berkata, program tahunan Kembara Kasih Ramadan itu bermula di Pulau Pinang pada 16 Jun sebelum bergerak ke Pangkor, Perak dan berakhir di Chuping, Perlis pada 19 Jun ini. - BERNAMA

Berita Harian X