Isnin, 12 Jun 2017 | 7:02pm

Penarafan AA-IS bagi sukuk Quantum Solar Park

KUALA LUMPUR: Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), firma penarafan tempatan, memberikan penarafan awal AA-IS kepada program Sukuk Murabahah RM1 billion Quantum Solar Park (Semenanjung) Sdn Bhd (QSP Semenanjung).

Unjuran terhadap penarafan itu adalah stabil.

Dalam satu kenyataan, MARC berkata, sukuk itu akan menjadi sukuk Pelaburan Kemampanan dan Tanggung Jawab Hijau (Green SRI) pertama Malaysia yang ditawarkan oleh penjana tenaga solar.

QSP Semenanjung adalah anak syarikat milik penuh Quantum Solar Park Malaysia Sdn Bhd, dengan surat pemilikan dibahagi sama rata kepada ItraMAS Technology Sdn Bhd, MalTechPro Sdn Bhd dan CamLite Sdn Bhd.

Katanya, Sukuk Green SRI itu akan digunakan bagi memajukan tiga jana kuasa solar (PV) berkuasa 50-megawatt (50MW) iaitu di Gurun (Kedah), Merchang (Terengganu) dan Jasin (Melaka) milik QSP Semenanjung.

"Dengan gabungan kapasiti 150MW, QSP Semenanjung akan menjadi pengeluar tenaga solar terbesar negara.

"Kos keseluruhan projek itu mencecah RM1.24 bilion yang mana ia akan dibiayai menerusi 80 peratus sukuk manakala 20 peratus pembiayaan asas ekuiti," katanya.

Mengulas lanjut, MARC berkata, penarafan itu mencerminkan aliran tunai mencukupi untuk menyokong perjanjian pembelian tenaga solar (SSPA) untuk tempoh 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB), yang mana MARC mengekalkan penarafan hutang tidak bercagar kanan AAA/stabil.

Katanya, penilaian penarafan turut mempertimbangkan struktur aturan kontrak yang baik bagi EPC dan operasi serta penyelenggaraan (O&M) loji terbabit.

"Aspek yang menyederhana penarafan adalah risiko berkaitan penyiapan projek, ketidaktentuan anggaran jumlah sinaran solar (TSI) dan prestasi keseluruhan loji terbabit," katanya.

Berita Harian X