Khamis, 8 Jun 2017 | 5:15pm

RHB jalin kerjasama strategik dengan BAC

NAZRI (kiri) dan Raja Singham pada majlis memeterai perjanjian kerjasama di Petaling Jaya, hari ini.. - Foto Saifullizan Tamadi
NAZRI (kiri) dan Raja Singham pada majlis memeterai perjanjian kerjasama di Petaling Jaya, hari ini.. - Foto Saifullizan Tamadi

PETALING JAYA: RHB Bank Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Brickfields Asia College (BAC) menerusi penawaran Easy-Smart Student Debit Card kepada pelajar.

Kad debit khusus itu menjadikan perbankan dengan RHB mudah, pantas dan lancar bagi pelajar menikmati transaksi tanpa tunai mudah berbanding pertukaran tunai di kaunter.

Easy-Smart Student Debit Card RHB menyediakan pelajar dan golongan muda dengan perkhidmatan yang baik untuk mendapatkan wang dan menggunakannya di kedai buku serta sesetengah peniaga dalam kampus.

Pemangku Ketua, Perbankan Runcit Kumpulan RHB Banking Group, Nazri Othman, berkata dengan kad debit itu, pelajar akan mempunyai transaksi perbankan selamat tanpa memerlukan tunai.

Malah, katanya, pelajar boleh menjejaki dan memantau perbelanjaan menerusi aplikasi mudah alih kumpulan perbankan terbabit.

"Ini memberi pelajar kawalan lebih baik dan fleksibel dengan pengurusan kewangan mereka," katanya pada majlis memeterai perjanjian kerjasama itu di sini, hari ini.

Kad debit itu juga menawarkan pelajar ganjaran menarik bagi perbelanjaan antarabangsa dan diskaun menarik serta baucar daripada peniaga terpilih.

Langkah RHB Banking Group itu sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi dan visi Bank Negara Malaysia untuk mentransformasikan Malaysia ke dalam masyarakat tanpa tunai.

Berita Harian X