Isnin, 5 Jun 2017 | 8:45pm

AirAsia komited jadikan Sarawak hab pengembara serantau

KUCHING: AirAsia komited untuk membantu membangunkan Sarawak sebagai destinasi utama percutian dan hab serantau bagi pengembara ke Borneo, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar.

"Kami rasa ada banyak potensi pertumbuhan di negeri ini (Sarawak) dan kami sedang mengkaji semula kesalinghubungan secara langsung dari negara ASEAN, China, Indochina, Asia Utara, Australia dan banyak lagi," katanya pada sidang berita selepas menyambut sekumpulan pelancong Indonesia yang tiba di sini dengan penerbangan sulung AirAsia dari Pontianak di Kalimantan Selatan, Indonesia.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 1.50 tengah hari dan disambut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Muda, Datuk Lee Khim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Datuk Ik Pahon Joyik, Timbalan Konsul Jenderal Indonesia di Kuching, Muhammad Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Bagi laluan baharu Kuching-Pontianak itu, AirAsia akan mengadakan penerbangan terus tujuh kali seminggu.

Aireen berkata, pihaknya yakin ketibaan pelancong Indonesia di Sarawak akan terus meningkat dengan bermulanya laluan Kuching-Pontianak itu selain membantu usaha Sarawak untuk menarik lima juta pelancong ke negeri ini pada 2017.

Sejajar dengan itu, beliau berharap kerajaan negeri Sarawak akan terus membantu dan bekerjasama dengan AirAsia untuk menambah laluan udara demi manfaat bersama.

Menurutnya, rakyat Sarawak kini boleh menikmati segala yang terbaik di "Equator City" (Pontianak) dengan adanya penerbangan terus dan tambang rendah setiap hari.

"Sempena acara ini, tambang daripada serendah RM89 sehala ditawarkan melalui www.airasia.com mulai sekarang hingga 18 Jun tahun ini bagi tempoh perjalanan antara 5 Jun tahun ini hingga 14 Januari tahun depan," katanya.

Aireen berkata, AirAsia telah membawa 17 juta penumpang dari dan ke Kuching, dan kini ke 10 destinasi dari Kuching dengan 468 penerbangan mingguan bagi kedua-dua hala.

Destinasi berkenaan ialah Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Pontianak.

Sementara itu, Aireen berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching telah mencapai kapasiti lima juta penumpang dan pihak berkuasa berkenaan perlu merancang untuk meningkatkan kapasiti itu bagi memenuhi keperluan yang semakin bertambah. -- BERNAMA

Berita Harian X