Ahad, 4 Jun 2017 | 4:19pm

FICCOP sasar kerjasama ke luar negara

PENGERUSI Koperasi Pengurusan Kewangan Hartanah Berhad (FICCOP), Datuk Ismail Nordin. - Foto Surianie Mohd Hanif
PENGERUSI Koperasi Pengurusan Kewangan Hartanah Berhad (FICCOP), Datuk Ismail Nordin. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Koperasi Pengurusan Kewangan Hartanah Bhd (FICCOP), menyasar memperluaskan kerjasama ke pasaran global dalam usaha memperkukuhkan operasi serta berkongsi kepakaran di negara luar.

Selain Malaysia, FICCOP bercadang bekerjasama dengan koperasi serta pihak berkaitan di tiga negara jiran iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura.

Pengerusinya, Datuk Ismail Nordin, berkata langkah itu sejajar dengan visi penubuhan FICCOP untuk menjadi penyedia perkhidmatan perundingan pengurangan kaedah pinjaman terkemuka di Malaysia dan di peringkat global.

Katanya, FICCOP adalah sebuah koperasi yang menyediakan perkhidmatan perundingan bagi membantu pemilik hartanah komersial dan bukan komersial yang mempunyai pinjaman dengan institusi kewangan.

Beliau berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan koperasi tempatan, pemaju hartanah, institusi kewangan dan ejen hartanah dalam usaha mencari penyelesaian serta membantu mereka yang berhadapan masalah pembiayaan hartanah.

"Kami juga menyasar untuk bekerjasama dengan 50 koperasi utama di Malaysia, termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA). Kami menjangkakan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini," katanya ketika ditemui selepas persidangan 'Menjana Keuntungan Dari Pelaburan Hartanah' di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Bendahari FICCOP, Franciss Chin.

Selain khidmat rundingan, FICCOP turut menawarkan latihan dan pendidikan, terutama berkaitan pengurusan serta perancangan kewangan yang betul.

Sementara itu, Franciss berkata, ramai pembeli hartanah berhadapan masalah pembiayaan, termasuk menanggung beban faedah pinjaman tinggi atau tempoh bayaran balik pinjaman yang lama.

Menyedari permasalahan itu, katanya, FICCOP mengambil inisiatif membantu mereka yang bermasalah menerusi penyediaan khidmat rundingan dan pengurusan kewangan, dengan mengenakan yuran berpatutan.

"Menerusi program Pengurangan Faedah Pinjaman Perumahan yang disediakan, kami berupaya mengurangkan sehingga 80 peratus jumlah faedah pinjaman perumahan, sekali gus mempercepatkan tempoh pembayaran," katanya.

FICCOP menawarkan bantuan kepada mereka yang mempunyai pinjaman perumahan, lot kedai, tanah atau bangunan komersial.

Khidmat rundingan yang disediakan menggunakan teknik dan teknologi yang sudah dipraktikkan di negara maju seluruh dunia.

Info:

* FICCOP ditubuhkan pada 29 Januari 2016

* Antara rakan kongsi FICCOP ialah Koperasi The New Straits Times Press (M) Bhd (KOOP NSTP); Koperasi Belia Islam Malaysia Bhd (KBI); Koperasi Pos Nasional Bhd (KOPONAS); Koperasi Universiti Malaysia Pahang Bhd (KOOP UMP) dan Koperasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Bhd.

Berita Harian X