Jumaat, 26 Mei 2017 | 4:40pm

Pemilihan pelabur PROTON keputusan DRB-HICOM: Mustapa

DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Ikhwan Munir
DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Ikhwan Munir

KUALA LUMPUR: Pemilihan pelabur bagi Proton Holdings Bhd (PROTON) adalah keputusan mutlak DRB- HICOM Bhd, selaku pemilik syarikat pengeluar kereta nasional itu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Ia terserah kepada DRB-HICOM untuk membuat keputusan berkenaan dan ia tiada kaitan dengan kerajaan. Namun, saya difahamkan DRB-HICOM akan terus menerajui pengurusan PROTON.

"Bagaimanapun, ia adalah keputusan syarikat itu," katanya ketika diminta mengulas mengenai status pengurusan PROTON di seminar berkaitan Komuniti Ekonomi ASEAN di sini, hari ini.

DRB-HICOM memeterai perjanjian dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd yang berpangkalan di China bagi membolehkan syarikat terbabit membeli 49.9 peratus pegangan dalam PROTON.

Perjanjian itu akan membolehkan PROTON memanfaatkan platform meluas dan rangkaian kuasa Geely Holding serta membuka peluang kepada pengeluar kereta nasional itu untuk mempunyai akses ke pasaran sedia ada pengeluar kereta China itu.

Berita Harian X