Khamis, 25 Mei 2017 | 5:31pm

Rakan strategik bolehkan PROTON tembusi pasaran ASEAN

CYBERJAYA: Pembabitan Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely Holding) sebagai rakan strategik asing (FSP) PROTON Holdings Bhd (PROTON) adalah pencetus penting untuk membolehkan pengeluar kereta nasional itu mengukuhkan penguasaan melangkaui pasaran domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari, berkata dalam dunia dan sektor perniagaan yang semakin berubah pada hari ini, perkembangan globalisasi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan dalam konteks itu apa yang penting adalah PROTON sama sekali tidak kehilangan status kereta nasional.

Malah, beliau berkata kerajaan menggalakkan PROTON supaya mendapatkan rakan strategik seperti yang sudah digariskan di dalam Dasar Automotif Negara (DAN) 2009 bagi membolehkan pengeluar kereta nasional itu berkembang dengan lebih kukuh.

"Pada pandangan kami, adalah lebih baik jika (DRB-Hicom Bhd) memiliki 50.1 peratus kepentingan namun mendapatkan kek atau penguasaan pasaran lebih besar daripada menguasai 100 peratus saham tetapi hanya mendapatkan penguasaan pasaran yang kecil.

"Justeru, daripada sudut pandangan perniagaan, urus niaga (pembelian 49.9 peratus kepentingan di dalam PROTON oleh Geely Holding) adalah wajar kepada mana-mana ahli perniagaan sekali pun.

"DRB-Hicom masih lagi menguasai majoriti, Malaysia masih lagi memiliki PROTON, namun idea mendapatkan rakan strategik adalah untuk memperluaskan penguasaan pasaran daripada apa yang ada sekarang melangkaui Malaysia, menuju ke ASEAN dan bergerak melangkaui ASEAN. Justeru, ia sudah pasti adalah langkah ke hadapan yang amat bagus untuk PROTON," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menutup Program Transformasi Bengkel anjuran MAI di sini, hari ini.

Ditanya sama ada urus niaga antara berkenaan menguntungkan semua pihak, Madani berkata DRB-Hicom melaksanakan proses mencari FSP dengan kaedah yang amat teliti sehingga membolehkan pemilihan Geely Holding sebagai rakan niaga adalah sesuatu yang tepat.

Beliau berkata, ia membentuk situasi 'menang-menang' dengan bantuan ekonomi daripada Geely Holding untuk membantu PROTON sambil pada masa sama PROTON pula membantu syarikat China itu memperkasakan jenamanya di rantau ASEAN.

"PROTON adalah satu-satunya pengeluar automotif sepenuhnya di ASEAN memiliki keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kemudahan pengeluaran yang kukuh. Kemudahannya di Shah Alam adalah amat berautomasi dan canggih untuk sesebuah kilang.

"Ia adalah sesuatu yang ditawarkan oleh PROTON dan Geely Holding melihatnya satu peluang untuk mereka datang ke ASEAN menerusi kerjasama dengan PROTON," katanya.

Berita Harian X