Khamis, 18 Mei 2017 | 10:25pm

MyCreative sasar labur RM50-60j tahun ini

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Lee Chee Leong melawat ruang pameran pembuat kasut kulit jenama tempatan pada majlis pengumuman MyCreative 2017 Investment di IM4U Sentral, Puchong. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, Johan Ishak (kanan) dan Ahli Lembaga MyCreative, Datuk Mahyidin Mustakim (dua dari kiri). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Lee Chee Leong melawat ruang pameran pembuat kasut kulit jenama tempatan pada majlis pengumuman MyCreative 2017 Investment di IM4U Sentral, Puchong. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, Johan Ishak (kanan) dan Ahli Lembaga MyCreative, Datuk Mahyidin Mustakim (dua dari kiri). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) yang juga cabang pelaburan kerajaan, menyasarkan melabur kira-kira RM50-60 juta tahun ini bagi pembiayaan sekurang-kurangnya 25 syarikat dalam industri kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ishak berkata, MyCreative yang dipertanggungjawabkan memacu industri kreatif menerusi pembiayaan strategik, memperuntukkan RM200 juta menerusi bajet kerajaan yang disalurkan kepada 100 syarikat sejak Disember 2016.

"Malah, adalah beberapa syarikat itu yang mencapai tempoh matang dan sudah mula melunaskan pinjaman berserta faedah yang membolehkan kita melabur ke dalam syarikat lain tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan senarai penerima dana 2016 berjumlah RM60 juta yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong.

Johan berkata syarikat yang mendapat manfaat dana itu membabitkan 10 teras kreatif iaitu seni visual, penciptaan kandungan, kesusasteraan, muzik, pendidikan kreatif, seni persembahan, seni tradisional dan kebudayaan, rekaan dan fesyen, teknologi kreatif serta seni kulinari.

Beliau juga menyifatkan industri kreatif berkenaan boleh memberi impak positif kepada ekonomi berdasarkan unjuran pelan perniagaan 100 syarikat yang dibiayai agensi itu.

Hasilnya juga boleh berlipatganda daripada suntikan pelaburan sekiranya ia diusahakan di tahap optimum, sekali gus memberi kesan berterusan kepada ekonomi, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Chee Leong berkata industri kreatif menyumbang kira-kira RM33 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014 yang turut membuktikan kewajaran usaha itu mendapat sokongan serta diiktiraf dalam usaha kerajaan mempelbagaikan ekonominya.

BERNAMA

Berita Harian X