Isnin, 15 Mei 2017 | 7:05pm

Nilai kontrak Airbus di Malaysia naik 25 peratus

LOGO Airbus .- Foto REUTERS
LOGO Airbus .- Foto REUTERS

AYER KEROH: Nilai kontrak pembekalan komponen pesawat Airbus di Malaysia dijangka melonjak 25 peratus kepada AS$500 juta (RM2.17 bilion) setahun menjelang 2021 berbanding AS$400 juta (RM1.73 bilion) setahun ketika ini.

Ia sejajar dengan unjuran pasaran industri aeroangkasa yang bakal menyaksikan sejumlah 33,070 pesawat baharu dikeluarkan untuk 20 tahun akan datang, dengan nilai mencecah AS$5.21 trilion (RM22.6 trilion).

Potensi pertumbuhan kontrak kerja itu sekali gus bakal menyaksikan pembekal komponen pesawat tempatan termasuk Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) berada di kedudukan selesa melayari gelombang industri pertumbuhan tinggi itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, pertumbuhan agresif industri itu menjadi asas untuk meletakkan sasaran tinggi menjadi syarikat bernilai satu bilion ringgit selepas 2019.

Sebelum ini, katanya, sasaran itu berpotensi untuk dicapai lebih awal berdasarkan prestasi pendapatan syarikat sebanyak RM824 juta bagi tahun kewangan 2016, namun terjejas ekoran persekitaran ekonomi mencabar termasuk kesan mata wang pound selepas Brexit.

"Hujung tahun ini, CTRM akan menyaksikan peristiwa penting apabila Airbus memindahkan sepenuhnya operasi pengeluaran Fan Cowl A350 di Chulavista Riverside kepada kami, menjadikan kami satu-satunya pengeluar tunggal Fan Cowl pesawat Airbus A350 di dunia ini.

"Pertumbuhan pendapatan syarikat juga akan digalakkan lagi dengan rancangan CTRM untuk meneroka peluang baharu membekalkan komponen panel dalaman pesawat Airbus dan kerusi penumpang dalam tempoh dua tahun.

"Bahkan, kami juga berusaha meyakinkan Airbus memanfaatkan sepenuhnya kepakaran pengujian kami untuk dipertingkatkan kepada Airbus Full Independence Lab dalam tempoh 12 hingga 18 bulan bagi membuka sumbangan pendapatan baharu kelak," katanya di Batu Berendam di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan media ke kemudahan CTRM Batu Berendam bagi melihat lebih dekat rancangan perluasan kemudahan pengeluarannya bagi menampung kontrak kerja baharu industri aeroangkasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM itu memperuntukkan pelaburan berjumlah RM93.4 juta bagi membangunkan kemudahan pengeluaran baharu dalam kawasan CTRM Batu Berendam.

Katanya, kemudahan dikenali sebagai Bangunan Keenam yang dijadualkan siap menjelang Februari 2018 itu bakal memerlukan tambahan pekerja sebanyak 300 hingga 400 tenaga kerja mahir dalam industri itu.

"Pertambahan itu bagi menampung kontrak kerja baharu yang sudah dimeterai syarikat, termasuk lonjakan kapasiti pengeluaran apabila pemindahan pengeluaran Fan Cowl A350 Airbus berlaku sepenuhnya kelak.

"Ketika ini kontrak kerja pengeluaran komponen komposit berkaitan Airbus bagi kedua-dua kontrak Tier 1 secara langsung dan Tier 2, menyumbang 70 peratus kepada sumbangan perniagaan CTRM," katanya.

Info:

Pengembangan Pengeluaran CTRM Batu Berendam

Bangunan Keenam (B6)

Pelaburan keseluruhan : RM93.4 juta

Keluasan Pengilangan : 205,000 kaki persegi B6 akan dibangunkan pada kawasan seluas 8 ekar dalam kawasan CTRM

Masih berbaki 3.7 ekar kawasan CTRM untuk pengembangan akan datang

Berita Harian X