Jumaat, 12 Mei 2017 | 6:09pm

FBM KLCI ditutup tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup tinggi sedikit, hari ini.

Pada jam 5 petang, Indeks FBM KLCI meningkat 0.48 mata kepada 1,775.87 berbanding 1,775.39 semalam.

Jumlah dagangan harian lebih rendah kepada 2.70 bilion saham bernilai RM2.18 bilion berbanding 3.55 bilion unit bernilai RM3.47 bilion semalam.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 516 berbanding 424, sementara kaunter tidak berubah berjumlah 862.

Jumlah dagangan susut kepada 2.70 bilion unit bernilai RM2.17 bilion daripada 3.55 bilion unit bernilai RM3.47 bilion pada Khamis.

Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata peningkatan indeks utama itu didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM).

"Ini sememangnya positif untuk Bursa Malaysia yang menyaksikan sentimen pelabur telah pulih biarpun Wall Street mencatat prestasi semalaman yang lebih lemah," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia hari ini turut mengumumkan langkah untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

Menurut bank pusat itu, pada kadar semasa OPR berkenaan, pendirian dasar monetari juga bersifat akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.

Sementara itu, bagi saham-saham berwajaran tinggi, Maybank mencatat untung tujuh sen kepada RM9.38, TNB susut dua sen kepada RM13.90, Public Bank naik dua sen kepada RM19.98 manakala Sime Darby tidak berubah pada RM9.33.

Saham-saham aktif pula menyaksikan Netx rugi satu sen kepada 8.5 sen, Glotec susut setengah sen kepada enam sen manakala AT naik setengah sen kepada lima sen. Indeks FBM Emas pula merosot 0.79 mata kepada 12,718.10, Indeks FBMT 100 berkurangan 1.11 mata kepada 12,348.00 manakala Indeks FBM Emas Syariah pula turun 16.06 mata kepada 13,057.93.

FBM 70 merosot 17.96 mata kepada 15,319.91 namun FBM ACE melonjak 99.30 mata kepada 6,438.26. Mengikut sektor, Indeks Kewangan menokok 36.25 mata kepada 16,411.15, Indeks Perladangan pula naik 17.68 mata kepada 8,112.79 namun Indeks Perusahaan susut 9.87 mata kepada 3,259.21. - BERNAMA

Berita Harian X