Ahad, 7 Mei 2017 | 6:12pm

MRCB raih tiga anugerah PIPDA 2017

DARI kiri: Joon Hoe bersama Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Ishak Mohamed dan Ketua Pegawai Korporat MRCB, Amarjit Chhina ketika menerima anugerah pada majlis PIPDA 2017 di Kuala Lumpur.
DARI kiri: Joon Hoe bersama Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Ishak Mohamed dan Ketua Pegawai Korporat MRCB, Amarjit Chhina ketika menerima anugerah pada majlis PIPDA 2017 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menggondol tiga anugerah pada majlis Property Insight Prestigious Developer Awards 2017 (PIPDA) baru-baru ini.

Syarikat itu menerusi projek 9 Seputeh memenangi Anugerah Pembangunan Bercampur Terbaik, sementara The Sentral Residences meraih Anugerah Pembangunan Gaya Hidup Mewah Terbaik.

Selain itu, MRCB turut meraih Anugerah 10 Pemaju Utama bagi pencapaian keseluruhannya dalam industri pembangunan hartanah Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi MRCB, Kwan Joon Hoe, berkata syarikat memberi jaminan bahawa ia akan meneruskan usaha membangunkan projek yang memenuhi keperluan rakyat.

"Kami gembira dengan tiga anugerah ini. Ia membuktikan apa yang dibangunkan kami memberi impak positif kepada negara," katanya dalam satu kenyataan.

Joo Hoe berkata, MRCB adalah syarikat perintis dalam pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Malaysia menerusi pelbagai projek.

"Antara projek TOD ialah KL Sentral CBD, Kwasa Sentral, Penang Sentral dan Cyberjaya City Centre membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM36.43 bilion daripada jumlah keseluruhan GDV kami iaitu RM49 bilion.

"Bagaimanapun, kami berusaha untuk menjadi lebih daripada itu, kerana matlamat kami adalah untuk menjadikan MRCB diiktiraf sebagai jenama untuk inovasi, selain menetapkan standard untuk kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata, pembeli boleh menjangkakan standard kualiti tinggi daripada pembangunan hartanah MRCB.

"Syarikat menyasarkan untuk mewujudkan pulangan mampan menerusi aktiviti perniagaan dan mewujudkan nilai daripada pembangunan komersial kepada pelanggan," katanya.

Berita Harian X