Khamis, 13 April 2017 | 10:31pm

JCorp bawa teknologi tenaga baharu China ke Johor

PRESIDEN dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim Bahru. - Foto Zain Ahmed
PRESIDEN dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim Bahru. - Foto Zain Ahmed

SHANGHAI: Johor Corporation (JCorp) bakal membawa teknologi penghasilan sumber baharu ke Johor menerusi perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat terkemuka dari China, esok.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata syarikat yang akan bekerjasama dengan pihaknya berpengalaman luas dan mendahului teknologi pengurusan sisa pepejal di China.

Katanya, kerjasama dalam kerangka misi pelaburan kerajaan negeri ke Shanghai itu akan memberi fokus terhadap konteks penghasilan sumber tenaga daripada sisa pepejal yang boleh dimanfaatkan di Johor dan negara secara keseluruhannya.

"Kita (JCorp) akan menandatangani MoU (esok) dengan syarikat nombor satu di China dalam pengurusan sisa pepejal berdasarkan konteks sisa pepejal kepada tenaga.

"Kami yakin kepakaran mereka yang sedia ada akan membawa satu penemuan untuk menyelesaikan permasalahan pelupusan sampah di negara kita," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Kamaruzzaman berkata, esok turut menyaksikan JCorp akan bertemu dengan lebih 20 pelabur dari China yang sudah menyatakan minat dan hasrat mereka dalam pelaburan selain memilih negara khasnya Johor sebagai tapak operasi mereka berasaskan kepada perkongsian pasaran Malaysia dan rantau ASEAN.

"JCorp akan terus memainkan peranan sebagai konglomerat kerajaan negeri dengan menarik pelaburan baharu khususnya dari luar untuk memilih Johor.

"Kita bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memilih sektor tertentu yang bersesuaian dengan sektor dipromosikan kerajaan bagi tujuan mendapatkan impak maksimum kepada ekonomi negara sama ada dalam bidang penambahan eksport negara dan juga peluang pekerjaan kepada pelbagai pihak dalam negara," katanya.

Hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memulakan misi perdagangan serta pelaburan selama empat hari ke Shanghai selain mengadakan pertemuan bersama pemain industri utama di bandar raya itu.

Lawatan kerja rasmi itu turut menyaksikan Mohamed Khaled akan mengadakan beberapa perjumpaan perdagangan dengan pelabur berpotensi dari China terutama dalam industri robotik dan tekstil.

Antara yang turut sama dalam delegasi itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang juga Timbalan Pengerusi JCorp; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Berita Harian X