Jumaat, 7 April 2017 | 10:16pm

AirAsia buka pejabat jualan di Sarawak Plaza

KUCHING: AirAsia Bhd membuka pejabat jualan di Sarawak Plaza Shopping Mall, di tengah-tengah bandar raya ini, dan ia mula beroperasi hari ini.

Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee berkata pejabat itu akan mengukuhkan lagi komitmen syarikat penerbangan berkenaan dengan Kuching, yang menyediakan hubungan lebih baik bagi Sabah dan Sarawak.

KETUA Komersial AirAsia, Spencer Lee. - Foto fail NSTP/Zulaikha Zainuzman
KETUA Komersial AirAsia, Spencer Lee. - Foto fail NSTP/Zulaikha Zainuzman

Katanya pejabat jualan itu akan menjadi satu lagi saluran untuk memenuhi keperluan penumpang AirAsia yang tidak dapat menempah penerbangan mereka secara dalam talian.

"Kami berharap dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih lancar kepada penumpang yang berada di Kuching dan di luar Kuching, melalui pembukaan pejabat jualan berkenan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pejabat jualan itu menawarkan perkhidmatan seperti tempahan penerbangan ke semua rangkaian laluan AirAsia dan AirAsia X, serta jualan barangan eksklusif AirAsia.

Spencer berkata pada masa ini, AirAsia menghubungkan Kuching dengan 10 destinasi, dengan sejumlah 211 penerbangan mingguan untuk laluan antarabangsa dan domestik.

Bersempena dengan pembukaan pejabat jualan itu, AirAsia menawarkan promosi eksklusif dengan 20 peratus diskaun bagi tambang dalam talian, ke destinasi seperti dari Kuching ke Pontianak, Pulau Pinang dan Kota Bharu, dan Kuala Lumpur ke Seoul, Changsha, Bangkok dan Jakarta.

Tambang promosi tersebut boleh didapati secara eksklusif di pejabat jualan AirAsia mulai hari ini hingga 9 April 2017, dan untuk perjalanan dari 18 April hingga 20 November 2017. - BERNAMA

Berita Harian X