Rabu, 5 April 2017 | 12:57pm

Pos Malaysia-Tigers, bina hab e-penunaian serantau

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) dan Tigers Global Logstics (M) Sdn Bhd (Tigers) memeterai perjanjian usaha sama menyediakan penyelesaian perniagaan rentas sempadan penunaian elektronik (e-penunaian) pertama di rantau Asia Tenggara.

Tigers adalah syarikat logistik dan pengangkutan global pakar dalam penyelesaian rantaian bekalan, e-Fulfilment serta pengangkutan laut, darat dan udara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata menerusi hab itu Pos Malaysia akan diberi mandat untuk menguruskan proses keseluruhan rantaian bekalan termasuk pelepasan kastam, pengurusan produk, kutip dan pembungkusan serta penghantaran.

Katanya, Tigers pula bertanggungjawab dalam pelaburan perkakasan, jaringan dan sistem yang membolehkan Pos Malaysia beroperasi dengan lebih pantas dan cekap.

"Usaha sama akan turut menjadi landasan penubuhan hab e-penunaian serantau pertama di negara ini di Terminal Penerbangan Tambang Murah untuk menguruskan pejabat pertukaran, pemindahan udara dan keupayaan e-penunaian.

"Hab itu akan memberi manfaat kepada pemain industri e-Dagang serta pelanggan tempatan dan antarabangsa, seterusnya merentasi 30 buah negara di rantau Asia Pasifik," katanya selepas memeterai perjanjian itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, inisiatif itu bertepatan selepas Pos Malaysia berjaya menjadi rakan kongsi tempatan dalam pembangunan hab e-penunaian di Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Katanya, Pos Malaysia bersama rakan perniagaannya akan menggunakan sepenuhnya peluang peningkatan urus niaga perniagaan di Hab Antarabangsa Pos Malaysia (PMIH), KLIA dan melengkapkannya dengan kemudahan penerbangan dan pelepasan kastam terbaik.

Berita Harian X