Isnin, 3 April 2017 | 6:39pm

MyHSR anugerah kontrak RDC kepada 5 perunding

KUALA LUMPUR: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) memberi kontrak Perunding Rekabentuk Rujukan (RDC) bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kepada lima perunding.

Kontrak yang dibahagikan kepada enam pakej, diberikan kepada Systra S.A., Jacobs Engineering Services Sdn Bhd, Ranhill Consulting Sdn Bhd, HSS Integrated Sdn Bhd dan AECOM Perunding Sdn Bhd, menurut MyHSR dalam kenyataan di sini hari ini.

MyHSR berkata, pelaksanaan tender RDC adalah melalui proses tender terbuka antarabangsa sejak Ogos tahun lalu dan berjaya menarik minat pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata perunding yang dilantik bertanggungjawab untuk mereka bentuk stesen dan infrastruktur sivil, seperti jambatan dan terowong HSR.

"Memandangkan infrastruktur sivil berukuran kira-kira 335 kilometer, kami membahagikan kerja-kerja kepada enam pakej, menarik perunding pakar bagi kerja-kerja tertentu untuk disiapkan," katanya.

Beliau berkata keseluruhan skop kerja adalah termasuk stesen antarabangsa di Bandar Malaysia dan Iskandar Puteri, lima stesen domestik di Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar dan Batu Pahat, dan kerja-kerja sivil jajaran dari stesen Bandar Malaysia ke sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Singapura.

MyHSR, syarikat yang ditubuhkan pada 2015 dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, bertanggungjawab bagi pembangunan dan pelaksanaan projek HSR. - BERNAMA

Berita Harian X