Selasa, 14 March 2017 | 3:56pm

Sasar 160 unit jualan di Kelantan, Terengganu

PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (dua dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mofaz Exotic Car Sdn Bhd, Ferhan Fauzy (dua dari kanan) melihat kereta Mercedes-Benz SLC 300 yang dipamerkan sempena pembukaan bilik pameran Mofaz Exotic Car Sdn Bhd di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (dua dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif Mofaz Exotic Car Sdn Bhd, Ferhan Fauzy (dua dari kanan) melihat kereta Mercedes-Benz SLC 300 yang dipamerkan sempena pembukaan bilik pameran Mofaz Exotic Car Sdn Bhd di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Pengedar kereta mewah jenama Mercedes, Mofaz Exotic Car Sdn Bhd menyasar penjualan sebanyak 160 unit kereta mewah itu bagi pasaran Kelantan dan Terengganu pada tahun ini.

Ia berikutan pengenalan model Mercedes-Benz baharu yang diyakini mampu memikat ramai pelanggan terutama golongan muda.

Pengarah Eksekutifnya, Ferhan Fauzy, berkata pada akhir tahun lalu, Mercedes-Benz Malaysia melakukan pembaharuan dari segi teknologi dan reka bentuk, selain menambah fasiliti baharu yang diperlukan oleh pemilik jenama itu di negara ini.

"Kami sebagai pengedar utama jenama ini turut mengembangkan kemudahan kepada pemilik dan pelanggan, selain memfokuskan perkhidmatan pusat servis kenderaan di beberapa cawangan Mofaz di Pantai Timur.

"Jika dilihat model Mercedes-Benz yang terdahulu, kebanyakannya hanya dimiliki orang berumur kerana reka bentuk 'old school' tetapi untuk keluaran terbaru, jenama ini memperkenalkan reka bentuk lebih 'sporty' yang dijangka mampu memikat golongan muda untuk memilikinya.

"Saya yakin dengan lebih 10 model terbaru seperti GLC-Class, ia dapat memenuhi permintaan di Kelantan dan Terengganu, seterusnya diharap dengan fasiliti yang terdapat di beberapa cawangan Mofaz di Pantai Timur, ia dapat menyokong jenama Mercedes-Benz Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Pameran baharu Mercedes-Benz di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, hari ini. Yang turut hadir, Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner.

Ferhan berkata, pengenalan model baharu jenama itu turut mengetengahkan harga mampu milik dan mengikut peredaran pasaran kenderaan di negara ini.

Katanya, bagi model terbaru, harga bermula serendah RM190,000 sehingga RM1 juta berbanding model terdahulu di mana harga permulaan mencecah RM300,000.

"Kita dapat lihat kenderaan keluaran Mercedes-Benz melakukan perubahan dengan mengubah harga pemasarannya mengikut kehendak pelanggan di Malaysia," katanya.

Berita Harian X