Selasa, 14 March 2017 | 9:27am

Saham Toshiba susut lima peratus

TOKYO: Saham Toshiba Corp susut lima peratus selepas sumber menyatakan konglomerat elektronik itu memohon melanjutkan tarikh akhir penghantaran laporan kewangan rasmi suku ketiganya.

Ia susulan juruauditnya masih belum bersetuju untuk menandatangani dokumen itu.

Tempoh lanjutan itu adalah yang kedua selepas Toshiba menangguhkannya sebulan lalu untuk memeriksa masalah di Westinghouse.

Dalam dagangan awal, saham Toshiba susut 4.8 peratus kepada 204.6 yen.

Toshiba kini dalam rundingan dengan pengatur selia kewangan bagi tempoh lanjutan itu, kata sumber kepada Reuters semalam.

Sumber itu enggan dinamakan kerana tidak mempunyai kuasa untuk bercakap kepada media.

Bagaimanapun, punca percanggahan dengan juruaudit itu tidak diketahui.

Sumber lain berkata, Toshiba juga sedang mendapatkan penangguhan selama sebulan dan ia sepatutnya cukup untuk menyelesaikan masalah dengan juruaudit.

"Kami faham juruaudit juga mempunyai pandangan mereka sendiri tetapi saya rasa mereka tentu tidak mahu menjadi punca kegagalan Toshiba dengan asyik menangguhkan dokumen," katanya.

Ketua Eksekutifnya, Satoshi Tsunakawa dijangka mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan mengenai penangguhan itu, menurut sumber. -Reuters

ends

Berita Harian X