X
Jumaat, 10 March 2017 | 10:11pm

Deftech ambil alih tiga syarikat RM1.04j

KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech), memeterai perjanjian penjualan saham dengan anak syarikatnya Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) bagi mengambilalih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam tiga syarikat lain dengan harga RM1.04 juta.

Deftech yang juga anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd mengambil alih pegangan dalam CTRM Systems Integration Sdn Bhd, CTRM Aviation Sdn Bhd dan Unmanned System Technology Sdn Bhd.

DRB-Hicom dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata pembelian itu bertujuan untuk memudahkan penyusunan semula dalaman.

Selepas cadangan penyusunan semula dalaman itu selesai, syarikat-syarikat yang diambilalih akan menjadi anak syarikat milik penuh Deftech.

"Ini akan membolehkan Deftech memainkan peranan yang lebih proaktif bagi mengembangkan lagi perniagaan syarikat yang diambilalih dalam industri pertahanan.

"Ia juga membolehkan CTRM memberi fokus serta mengembangkan perniagaan dalam aeroangkasa, pembuatan komposit bukan aeroangkasa dan pengujian makmal yang berkaitan bagi bahan komposit."

Katanya, cadangan penyusunan dalaman semula ini akan siap menjelang suku kedua tahun ini, tertakluk kepada kelulusan/kebenaran dari pembiaya CTRM dan Deftech. - BERNAMA

Berita Harian X