Isnin, 6 March 2017 | 3:39pm

RHB Investment Bank sasar 100,000 pelanggan

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd menyasarkan 100,000 pelanggan akan menyertai kempen 'Trade & Win' siri kedua yang bermula dari 1 Mac 2017 hingga 28 Februari tahun hadapan.

Ketua Eksekutifnya, Robert Huray berkata, kempen yang berlangsung selama dua belas bulan itu menawarkan hadiah utama dua buah kereta Honda BR-V kepada dua pemenang.

Katanya, seorang pemenang akan diumumkan dalam tempoh enam bulan pertama dan pemenang kedua akan diumumkan pada enam bulan berikutnya.

"Kempen itu dilancarkan untuk memacu pembabitan pelanggan runcit ke dalam pasaran modal selain menggalakkan aktiviti pelaburan dan dagangan.

"Ia terbuka kepada semua pelanggan dagangan RHB Investment Bank yang sedia ada atau baharu.

"Dengan peningkatan aktiviti dagangan oleh pelanggan baharu kami, ia juga membantu memacu penyertaan dagangan runcit di Bursa Malaysia," katanya pada sidang media selepas pengumuman pemenang kempen 'Trade & Win' siri pertama di sini, sebentar tadi.

Tambahnya lagi, dengan objektif khusus untuk meningkatkan penyertaan runcit, RHB Investment Bank juga telah melancarkan cabang Pembrokeran Islamik baru- baru ini.

"Ia bertujuan memberi pelabur pilihan untuk berdagang di dalam ekosistem yang patuh syariah," katanya.

ROBERT Huray (kiri) bersama pemenang kempen 'Trade & Win' siri pertama, Tan Chuan Choon di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail
ROBERT Huray (kiri) bersama pemenang kempen 'Trade & Win' siri pertama, Tan Chuan Choon di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Sementara itu, kempen siri pertama itu menyaksikan pesara, Tan Chuan Choon, 75 tahun terpilih sebagai pemenang utama dan berjaya membawa pulang sebuah kereta Honda Civic 1.8s bernilai RM103,800.

Kempen itu berlangsung dari 1 Ogos 2016 hingga 31 Januari lalu dan ia selain hadiah utama itu, ia juga menawarkan hadiah lain. Seramai 30 pemenang hadiah utama menerima Apple Watch Sport, 20 pemenang kedua menerima Apple iPad Mini 2 dan 181 pemenang ketiga menerima 10,000 Smart Point.

Robert berkata, untuk kempen siri pertama itu, seramai lebih 70,000 pelanggan baharu dan sedia ada menyertainya.

"Ada juga pelanggan yang sudah tidak aktif sebelum ini mula berdagang semula kerana ingin menyertai kempen berkenaan," katanya.

INFO

*Seramai 16,000 pelanggan baharu menyertai kempen 'Trade & Win' tahun lalu

Berita Harian X