Khamis, 23 Februari 2017 | 5:28pm

MyRumah tampil 16 panel jawab isu perumahan

KUALA LUMPUR: Seramai 16 ahli panel akan berkongsi penerangan mengenai isu perumahan sempena Pameran Hartanah MyRumah, anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), pada 3 hingga 5 Mac ini.

Satu sesi pengenalan ahli panel bersama media diadakan hari ini bertempat di Galeri Prima Anjung Riong di Balai Berita NSTP, di sini.

Mereka adalah Pengarah Jualan Diligent Planner Sdn Bhd, Vince Chia; Alan Poon (Superior Wealth Mastery); Dr Daniele Gambero (REI Group of Company); peguam, Elizebeth Siew dan Ivan Chan; Franciss Chin (MRP Advisory Services Sdn Bhd) serta Azizi Ali dari Millionaires Planet.com.

Ahli panel berkenaan akan berkongsi maklumat berkenaan segmen hartanah dengan pengunjung dalam beberapa sesi yang akan diadakan sempena pameran itu nanti, meliputi topik berkaitan industri hartanah, pasaran, pinjaman perumahan serta perundangan.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Datuk Seri Vincent Tiew; Pengurus Besar Pengiklanan Aagensi/Rencana Khas NSTP, Roche Chew Ruoh Syh dan Pengasas Bersama LePro System Bhd, Vincent Heng.

Orang ramai yang mengunjungi pameran perumahan itu nanti boleh mengemukakan pelbagai persoalan dan mendapatkan penjelasan berkenaan kesulitan yang dialami mereka terutama berkaitan pembelian hartanah.

Siri pertama pameran MyRumah pada bulan depan itu, akan diadakan di Public Space, Balai Berita NSTP, Bangsar dan dijangka menarik kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung.

Tahun ini, pameran MyRumah akan berlangsung dalam empat siri, dua di Balai Berita NSTP dan masing-masing satu di Johor Bahru, Johor dan Alor Star, Kedah, dengan hartanah bernilai di bawah RM500,000 ditawarkan kepada pengunjung.

Sementara itu, Tiew berkata, masih ramai dalam kalangan pembeli rumah tidak mengetahui bahawa dokumentasi adalah aspek yang begitu penting dalam urusan pembelian rumah.

Katanya, tanpa dokumentasi lengkap, ditambah syarat dikenakan kebanyakan bank yang semakin ketat, ia menyebabkan ramai pembeli gagal mendapat pinjaman perumahan maksimum daripada bank, walaupun memiliki pendapatan agak tinggi setiap bulan.

"Topik (dokumentasi) ini penting bagi seseorang pembeli. Ia akan menentukan sama ada pinjaman boleh diluluskan oleh bank atau tidak.

"Dokumen potongan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), rekod cukai pendapatan, hutang PTPTN (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) adalah isu yang sering membelenggu pembeli rumah sehingga ada kalanya menyebabkan permohonan pinjamannya ditolak bank," katanya.

Berita Harian X