Jumaat, 17 Februari 2017 | 1:13am

Malakoff ambil alih pembinaan loji fotovoltan solar

KUALA LUMPUR: Malakoff Corp Bhd (MCB) melaksanakan sepenuhnya pembinaan dan pembangunan loji fotovoltan solar skala besar 50 megawatt berikutan penarikan diri DRB-HICOM Environmental Services Sdn Bhd (DHES) daripada konsortium Malakoff-DHES.

DHES ialah anak syarikat milik penuh Alam Flora Sdn Bhd yang mana 97.37 peratus dimiliki anak syarikat HICOM Holdings Bhd, anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Malakoff berkata, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan tidak menghalang penarikan diri DHES daripada konsortium itu dan untuk MCB mengambil alih bergantung kepada penyempurnaan beberapa syarat tertentu.

Dengan penarikan diri itu, Malakoff akan mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam loji terbabit.

Katanya, projek itu tidak dijangka mempunyai sebarang kesan penting ke atas pendapatan dan aset bersih MCB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017. - BERNAMA

Berita Harian X