Isnin, 6 Februari 2017 | 6:40pm

Toyota, Suzuki setuju mula berunding

TOKYO: Toyota Motor Corp dan Suzuki Motor Corp berkata mereka bersetuju untuk memulakan rundingan rasmi bertujuan menjalin usaha sama dalam perkongsian pemerolehan, kenderaan hijau, teknologi maklumat (IT) dan teknologi keselamatan.

Perjanjian itu membawa kedua syarikat automotif Jepun itu setapak lagi dalam menjalin usaha sama yang memungkinkan Suzuki, sebagai pengeluar kenderaan mini dan kompak mampu milik, mengakses teknologi Toyota.

Sebaliknya, pengeluar kenderaan kedua terbesar dunia itu pula bakal meraih manfaat daripada kedudukan pasaran kukuh Suzuki di India.

"Toyota dan Suzuki bersetuju untuk berusaha ke arah merealisasikan usaha sama perniagaan awal," kata mereka dalam satu kenyataan akhbar bersama.

Syarikat berkenaan Oktober lalu berkata, mereka meninjau usaha sama, merujuk kepada cabaran teknologi dihadapi syarikat automotif dan keperluan untuk lebih ke depan dengan penggabungan dalam industri automotif global.

Suzuki, pengeluar kenderaan keempat terbesar Jepun, sebelum ini berkata ia bertungkus lumus menjejaki kepantasan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri itu, perlumbaan teknologi yang lebih memihak kepada Toyota berikutan kedudukan kewangannya yang lebih mantap.

Toyota melabur secara besar-besaran dalam bidang R&D termasuk pemanduan automatik, kepintaran buatan dan kereta rendah pelepasan karbon dioksida.

Suzuki sudah sekian lama cuba mendapatkan rakan kongsi yang lebih besar.

Hubungan dengan Volkswagen AG berakhir dalam nada suram pada 2015, selepas pengeluar kenderaan Jerman itu mendakwa Suzuki mencabuli pakatan berkenaan dengan bersetuju menggunakan enjin diesel Fiat.

Bagi Toyota pula, akses kepada rangkaian bekalan Suzuki di India, boleh membantu membangun dan menjual lebih banyak kereta yang disesuaikan dengan pasaran tempatan.

Suzuki mendominasi pasaran India menerusi kepentingannya majoriti dalam Maruti Suzuki India Ltd, yang menjual sekitar separuh daripada jumlah kenderaan di negara itu. - Reuters

Berita Harian X