X
Khamis, 2 Februari 2017 | 1:20pm

Public Bank catat untung tahun ke-50 berturut-turut

PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Public Bank Group mencatat keuntungan sebelum cukai RM6.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, berbanding RM6.49 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih yang boleh diagih kepada pemegang saham meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM5.21 bilion semasa tahun dikaji.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata pada ulang tahun ke-50 penubuhan Public Bank Group, bank menunjukkan keupayaan menjana keuntungan stabil di tengah-tengah persekitaran operasi yang semakin mencabar.

"Ini disumbangkan oleh strategi pertumbuhan organik kumpulan yang proaktif dengan amalan perbankan berhemah, yang kekal menjadi pemisah dalam landskap perbankan berdaya saing ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dari segi pertumbuhan imbangan tunai bank, pinjaman kasarnya pada akhir 2016 mencecah RM294 bilion, mewakili pertumbuhan sebanyak 7.5 peratus berbanding setahun lalu.

Deposit pelanggan meningkat sebanyak 2.9 peratus untuk mencecah RM310 bilion setakat akhir 2016.

Hong Piow berkata, dengan prestasi kewangan menggalakkan itu, Public Bank Group bukan hanya mengekalkan trek rekod cemerlang untung selama 50 tahun sejak penubuhannya, malah terus menjadi peneraju dalam kalangan bank domestik di Malaysia dengan menghasilkan pulangan ekuiti bersih tinggi 16.5 peratus.

Selain itu, katanya ia mengekalkan nisbah pinjaman susut nilai kasar yang rendah pada 0.5 peratus dan nisbah kos berbanding pendapatan yang cekap pada 32.3 peratus tahun lalu.

Berita Harian X