Selasa, 31 Januari 2017 | 7:32pm

Wang secara luas naik 3 peratus Disember 2016

KUALA LUMPUR: Wang secara luas atau M3 mencatat pertumbuhan tahunan yang stabil sebanyak 3.0 peratus pada Disember lalu berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata peningkatan M3 itu didorong terutama oleh pemberian kredit kepada sektor swasta oleh sistem perbankan.

Bagaimanapun, peningkatan itu diimbangi sebahagiannya oleh pertumbuhan Akaun Pelaburan Islam yang berterusan seperti dicerminkan dalam pengaruh lain serta kemerosotan aset asing bersih akibat aliran keluar modal bersih pada bulan itu.

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta pula mencatat pertumbuhan tahunan 5.5 peratus pada Disember berbanding 6.7 peratus pada November.

Ini didorong oleh pertumbuhan bon korporat terkumpul bersih yang sederhana dalam keadaan pertumbuhan pinjaman yang diberikan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) yang stabil pada bulan itu.

Pinjaman terkumpul sistem perbankan mencatat pertumbuhan tahunan lebih tinggi sebanyak 5.0 peratus pada Disember 2016 (4.6 peratus pada November) dengan peningkatannya didorong oleh pengembangan pinjaman tahunan kepada kebanyakan sektor utama.

Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul sistem perbankan meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 5.3 peratus pada Disember (November 5.4 peratus), berikutan pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi pembelian hartanah kediaman.

Walaupun paras kelulusan pinjaman bagi perniagaan dan isi rumah terus stabil pada RM29.3 bilion (November RM29.9 bilion), paras permohonan pinjaman adalah menyederhana sedikit pada bulan berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X