Rabu, 25 Januari 2017 | 9:12pm

NCIA tingkat sosio ekonomi penduduk setempat

DATUK Seri Najib Razak beramah mesra dengan Orang Kelainan Upaya (OKU), Ahmad Shaupi Ismail pada majlis ramah mesra penerima manfaat NCIA bersama Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Najib Razak beramah mesra dengan Orang Kelainan Upaya (OKU), Ahmad Shaupi Ismail pada majlis ramah mesra penerima manfaat NCIA bersama Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Orang Kelainan Upaya (OKU), Ahmad Shaupi Ismail, 49, menyifatkan bantuan Pusat Inovasi Komuniti (CIC) Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebagai satu anugerah yang mengubah masa depan dan ekonomi keluarganya.

Menerusi bantuan mesin air batu dan dapur mesra OKU daripada CIC, beliau kini menjana pendapatan antara RM3,300 hingga RM3,500 sebulan dengan berniaga jeli kelapa.

Ahmad Shaupi, yang kudung kaki kanan berkata, pada permulaan, beliau menghasilkan 400 hingga 500 cawan jeli kelapa dalam tempoh enam jam dan beroleh pendapatan kira-kira RM2,500 sebulan.

"Selepas itu, saya mendapat bantuan CIC yang membekalkan mesin air batu dan dapur mesra OKU.

"Dengan bantuan itu, saya boleh hasilkan 400 hingga 500 cawan jeli kelapa dalam tempoh tiga jam dan pendapatan bulanan bertambah antara RM3,300 hingga RM3,500 sebulan, selain dapat menjimatkan sehingga RM1,000 sebulan dari segi kos operasi," katanya.

Beliau ditemui pada majlis ramah mesra penerima manfaat NCIA bersama Datuk Seri Najib Razak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Selain CIC, NCIA turut memperkenalkan inisiatif seperti SuriaKU, Model Pengurusan Estet (EMM) dalam penanaman padi, Program Pembangunan Usahawan Mikro Bumiputera (MCash), Program Latihan Pertanian Moden dengan Menggunakan Fertigasi dan program penanaman padi Nestle Paddy Club.

Selain, Shaupi, Lok Kong Long, 52, yang menyertai EMM dan Md Fuzi Ahmad, 43, yang menyertai Nestle Paddy Club, turut berkongsi pengalaman bagaimana pengeluaran padi mereka meningkat antara 1.5 tan metrik dan 2.5 tan metrik sehektar hasil bantuan NCIA.

Penoreh getah, Lebar Abdullah, 51, pula berkongsi pengalaman menyertai SuriaKU, pemasangan panel solar atas bumbung rumahnya yang membolehkan ibu kepada empat anak itu memperoleh pendapatan pasif RM250 sebulan dengan menjual tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, M Ponvannan, 23, yang juga pemegang Diploma Kejuruteraan Komputer, menceritakan bagaimana latihan tujuh bulan dalam Program Latihan Pertanian Moden dengan Menggunakan Fertigasi membolehkannya meraih pendapatan antara RM7,000 dan RM9,000 sebulan menerusi penanaman cili.

Berita Harian X